82
Allah Raja yang Agung
Mazmur Asaf.
Allah mengetuai sidang di syurga;
di hadapan makhluk-makhluk syurga Dia memberikan keputusan-Nya,
“Jangan hakimi orang dengan tidak adil,
dan jangan berpihak kepada orang jahat.
Belalah hak anak yatim dan orang lemah;
bersikap adillah kepada orang miskin dan yang tidak berdaya.
Selamatkanlah mereka daripada kuasa orang jahat.
Betapa jahilnya kamu, betapa bodohnya kamu!
Kerana kamu tidak berakhlak, keadilan lenyap dari bumi ini.
Aku berkata bahawa kamu ilahi,
bahawa kamu semua anak Yang Maha Tinggi. +
Namun kamu akan mati seperti manusia;
nyawa kamu akan berakhir seperti nyawa seorang penguasa.”
Datanglah, ya Allah, dan hakimilah dunia;
semua bangsa kepunyaan-Mu.
+ 82:6 Yoh 10.34