81
Lagu Perayaan
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Gitit. Mazmur Asaf.
Bersoraklah dengan gembira kepada Allah, pembela kita;
nyanyikanlah pujian kepada Allah Yakub.
Mulakanlah muzik dan mainkanlah tamburin;
mainkanlah lagu yang merdu dengan kecapi dan gambus.
Tiuplah trompet untuk perayaan kita
pada waktu bulan baru dan bulan purnama. +
Inilah satu hukum untuk Israel,
satu perintah daripada Allah Yakub.
Dia memberikan hukum ini kepada umat Israel,
ketika Dia menyerang negeri Mesir.
Aku mendengar suara yang tidak aku kenal, berkata,
“Aku telah mengangkat beban dari bahu kamu;
dan membebaskan kamu daripada kerja paksa.
Ketika kamu dalam kesusahan, kamu berseru kepada-Ku,
dan Aku pun menyelamatkan kamu.
Dari tempat persembunyian-Ku di dalam awan petir,
Aku mengabulkan permintaan kamu;
di mata air Meriba Aku menguji kamu. +
Hai umat-Ku dengarlah amaran-Ku;
Hai Israel, Aku sangat ingin kamu mendengar firman-Ku!
10 Jangan sembah tuhan lain. +
11 Akulah TUHAN, Allah kamu,
yang membawa kamu keluar dari Mesir.
Bukalah mulut dan Aku akan memberi kamu makan.
12 Tetapi umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku;
Israel tidak mahu taat kepada-Ku.
13 Oleh itu Aku membiarkan mereka mengikut kedegilan mereka,
dan berbuat sesuka hati mereka.
14 Sekiranya umat-Ku mendengar firman-Ku,
sekiranya mereka taat kepada-Ku,
15 Aku akan mengalahkan musuh mereka dengan segera,
dan menaklukkan semua lawan mereka.
16 Orang yang membenci Aku meromok ketakutan di hadapan-Ku;
mereka akan dihukum selama-lamanya.
17 Tetapi kamu akan Kuberi makan gandum pilihan,
dan Kukenyangkan dengan madu hutan.”
+ 81:4 Bil 10.10 + 81:8 Kel 17.7; Bil 20.13 + 81:10 Kel 20.2-3; Ul 5.6-7