71
Doa Orang Tua
Ya TUHAN, aku datang kepada-Mu untuk perlindungan;
jangan biarkan aku dipermalukan.
Kerana Engkau adil, tolonglah aku dan bebaskanlah aku.
Dengarlah aku dan selamatkanlah aku!
Jadilah perlindungan yang kukuh bagiku,
serta kubu yang kuat untuk melindungi aku;
Engkaulah penaung dan pembelaku.
Ya Allahku, selamatkanlah aku daripada orang jahat,
daripada kuasa manusia yang tidak adil dan kejam.
Ya TUHAN Raja, aku berharap kepada-Mu;
aku percaya kepada-Mu sejak masa mudaku.
Aku bergantung kepada-Mu seumur hidupku;
sejak aku dilahirkan, Engkau melindungi aku.
Aku akan sentiasa memuji Engkau.
Kehidupanku menjadi teladan kepada banyak orang,
kerana Engkau pembelaku yang kuat.
Sepanjang hari aku memuji-Mu
dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu.
Janganlah tolak aku sekarang kerana aku tua;
janganlah tinggalkan aku sekarang kerana aku lemah.
10 Musuhku hendak membunuh aku;
mereka berbincang dan bersekongkol menentang aku.
11 Mereka berkata, “Allah telah meninggalkan dia;
marilah kita kejar dan tangkap dia,
kerana tiada sesiapa akan menyelamatkan dia!”
12 Ya Allah, janganlah jauhi aku,
ya Allahku, cepatlah tolong aku!
13 Biarlah mereka yang menyerang aku
dikalahkan serta dibinasakan!
Biarlah mereka yang cuba mencelakakan aku
dipermalukan dan dihinakan!
14 Aku akan sentiasa berharap kepada-Mu,
dan semakin memuji-Mu.
15 Aku akan mengisahkan kebaikan-Mu;
sepanjang hari aku akan menceritakan penyelamatan daripada-Mu,
walaupun hal ini melampaui pengertianku.
16 Aku akan memuji perbuatan-Mu yang perkasa, ya TUHAN Raja,
aku akan mengisytiharkan kebaikan-Mu, kebaikan-Mu sahaja.
17 Engkau telah mengajar aku sejak masa mudaku;
sampai sekarang aku menceritakan perbuatan-Mu yang menakjubkan itu.
18 Kini aku sudah tua dan rambutku pun beruban,
jangan tinggalkan aku, ya Allah.
Sertailah aku semasa aku mengisytiharkan kuasa dan kebesaran-Mu
kepada semua keturunan yang akan datang.
19 Kebaikan-Mu, ya Allah, memuncak ke langit.
Engkau telah melakukan perkara yang besar-besar;
Engkau tiada bandingnya!
20 Engkau telah mendatangkan kesusahan dan penderitaan kepada diriku,
tetapi Engkau akan memulihkan kekuatanku;
Engkau akan menjauhkan aku dari kubur.
21 Engkau akan membuat aku lebih terhormat;
Engkau akan menghiburkan aku semula.
22 Sesungguhnya aku akan memuji Engkau dengan kecapi;
aku akan memuji kesetiaan-Mu, ya Allahku.
Aku akan menyanyikan mazmur untuk-Mu dengan kecapi,
ya Allah umat Israel,
Allah Yang Suci.
23 Aku akan bersorak ketika memainkan kecapi;
aku akan menyanyi dengan segenap jiwaku,
kerana Engkau telah menyelamatkan aku.
24 Sepanjang hari aku akan mengisahkan kesetiaan-Mu,
kerana mereka yang cuba mencelakakan aku
telah dikalahkan dan dipermalukan.