34
Pujian bagi Kebaikan TUHAN
Mazmur Daud, ketika dia berpura-pura tidak waras fikiran di hadapan Abimelekh. Kemudian Daud pergi setelah diusir oleh Abimelekh. +
Aku akan sentiasa bersyukur kepada TUHAN;
aku tidak akan berhenti memuji Dia.
Aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya;
semoga semua orang yang tertindas mendengar dan bergembira.
Agungkanlah TUHAN bersama dengan aku,
marilah bersama-sama memuji nama-Nya.
Aku berdoa kepada TUHAN dan Dia mengabulkan doaku,
Dia membebaskan aku daripada segala ketakutan.
Orang yang tertindas memandang Dia lalu bergembira;
mereka tidak sekali-kali akan kecewa.
Orang malang berseru dan TUHAN menjawab,
Dia membebaskan mereka daripada segala kesusahan.
Malaikat TUHAN mengawal orang yang menghormati-Nya,
dan menyelamatkan mereka daripada bahaya.
Rasakanlah sendiri betapa baiknya TUHAN!
Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya! +
10 Hormatilah TUHAN, hai semua umat-Nya,
kerana orang yang mentaati-Nya tidak akan berkekurangan.
11 Singa juga lapar kerana kekurangan makanan,
tetapi orang yang mentaati TUHAN tidak kekurangan apa-apa yang baik.
12 Marilah, hai anak-anak semua dan dengarlah nasihatku,
aku akan mengajar kamu menghormati TUHAN.
13 Mahukah kamu menikmati hidup?
Mahukah kamu berumur panjang dan berbahagia?
14 Jangan keluarkan kata-kata jahat,
dan jangan suka berdusta.
15 Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik;
usahakanlah kedamaian dengan tekun.
16 TUHAN memperhatikan orang salih,
dan mendengar tangisan mereka;
17 tetapi Dia menentang orang yang berbuat jahat;
apabila mereka mati, mereka cepat dilupakan. +
18 Apabila orang salih berseru, TUHAN mendengar
dan menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan.
19 TUHAN dekat kepada orang yang tawar hati;
Dia menyelamatkan mereka yang putus asa.
20 Orang baik mengalami banyak kesusahan,
tetapi TUHAN menyelamatkan mereka daripada semuanya;
21 TUHAN memelihara mereka dengan sempurna,
tulang mereka tidak satu pun patah. +
22 Orang jahat akan mati kerana kejahatan mereka;
mereka yang membenci orang salih akan dihukum.
23 TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya,
mereka yang berlindung kepada-Nya akan diselamatkan.
+ 34:1 1 Sam 21.13-15 + 34:9 1 Ptr 2.3 + 34:17 1 Ptr 3.10-12 + 34:21 Yoh 19.36