33
Lagu Pujian
Hai orang salih, bersoraklah dengan gembira
kerana segala yang dilakukan TUHAN;
pujilah Dia, hai semua orang yang taat kepada-Nya!
Bersyukurlah kepada TUHAN dengan kecapi,
bernyanyilah dengan iringan alat muzik bertali.
Nyanyikanlah lagu yang baru untuk TUHAN,
mainkanlah kecapi dengan mahir,
dan nyanyilah dengan suara yang kuat!
Firman TUHAN itu benar,
dan segala perbuatan-Nya boleh dipercayai.
TUHAN mengasihi kejujuran dan keadilan;
seluruh bumi penuh dengan kasih-Nya.
TUHAN mencipta langit dengan perintah-Nya,
matahari, bulan, dan bintang dijadikan oleh firman-Nya.
Dia mengumpulkan laut di suatu tempat;
Dia menahan lautan di dalam bendungan.
Takutlah akan TUHAN, hai seluruh bumi!
Hormatilah Dia, hai semua penduduk dunia!
Apabila Dia berfirman, dunia tercipta;
oleh firman-Nya, segala-galanya dijadikan.
10 TUHAN menggagalkan rancangan bangsa-bangsa;
Dia meniadakan niat mereka.
11 Tetapi rancangan TUHAN tahan selama-lamanya,
dan tujuan-Nya tidak berkesudahan.
12 Berbahagialah bangsa yang mengakui TUHAN sebagai Allahnya;
berbahagialah bangsa yang dipilih sebagai milik-Nya!
13 TUHAN memandang ke bawah dari syurga,
dan melihat semua manusia.
14 Dari takhta-Nya Dia mengamati
semua yang tinggal di bumi.
15 Dialah yang membentuk hati mereka,
dan mengetahui segala perbuatan mereka.
16 Raja menang bukan kerana tenteranya besar,
askar menang bukan kerana kuat.
17 Kuda tidak dapat diharap untuk memenangi perang;
kekuatan kuda tidak dapat menyelamatkan.
18 TUHAN memerhatikan mereka yang mentaati-Nya,
mereka yang mengharapkan kasih-Nya.
19 Dia menyelamatkan mereka daripada kematian;
Dia memelihara nyawa mereka pada masa kelaparan.
20 Kita berharap kepada TUHAN;
Dialah penolong dan pelindung kita.
21 Kita bersukacita kerana Dia;
kita percaya kepada nama-Nya yang suci.
22 Semoga kasih-Mu menyertai kami, ya TUHAN,
kerana kami berharap kepada-Mu.