21
Pujian kerana Kemenangan
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.
Raja bergembira, ya TUHAN,
kerana Engkau menguatkan raja;
raja bersukacita kerana kemenangan
yang Engkau berikan kepadanya.
Engkau telah memenuhi segala hasrat hatinya;
Engkau telah mengabulkan permintaannya.
Engkau datang kepadanya dengan berkat yang berlimpah,
dan mengenakan mahkota emas di atas kepalanya.
Raja meminta hidup, maka Engkau pun memberikan hidup kepadanya,
bahkan umur panjang untuk selama-lamanya.
Kemuliaannya besar kerana pertolongan-Mu;
Engkau telah memberi raja kemasyhuran dan keagungan.
Berkat-Mu kepadanya berlanjutan,
dan hadirat-Mu membuat raja sangat girang.
Raja yakin kepada TUHAN Yang Maha Tinggi;
baginda selalu selamat kerana sentiasa dikasihi TUHAN.
Raja akan menangkap semua musuhnya;
raja akan menawan semua orang yang membenci baginda.
10 Raja datang seperti api yang menyala-nyala
untuk memusnahkan mereka.
TUHAN akan membinasakan mereka oleh kemurkaan-Nya,
dan api akan menghanguskan mereka.
11 Raja akan membunuh semua anak mereka,
dan menghapuskan semua keturunan mereka.
12 Mereka membuat rancangan, dan berkomplot menentang raja,
tetapi mereka tidak akan berjaya.
13 Raja akan melepaskan anak panah ke arah mereka,
dan membuat mereka berpatah balik dan lari.
14 Kami memuji Engkau, ya TUHAN, kerana besarlah kuasa-Mu!
Kami akan menyanyi dan memuji keperkasaan-Mu.