20
Doa Minta Kemenangan
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.
Semoga TUHAN mengabulkan doamu pada waktu kesusahan.
Semoga kuasa Allah Yakub melindungi kamu.
Semoga Dia menghantar pertolongan dari Rumah-Nya
dan memberi kamu bantuan dari Bukit Sion.
Semoga Dia menerima segala persembahanmu
dan berkenan pada segala korbanmu.
Semoga Dia memberi kamu keinginanmu
dan menjayakan segala rancanganmu.
Lalu kami akan bersorak-sorak kerana kemenanganmu,
dan merayakan kemenanganmu dengan memuji Allah kita.
Semoga TUHAN mengabulkan segala permintaanmu.
Sekarang aku tahu bahawa TUHAN memberikan kemenangan
kepada raja pilihan-Nya;
dari syurga-Nya yang suci TUHAN mengabulkan permintaannya.
Oleh kuasa TUHAN, raja mendapat kemenangan yang besar.
Ada orang bergantung kepada kereta kuda mereka,
yang lain kepada kuda mereka,
tetapi kita yakin akan kuasa TUHAN, Allah kita.
Mereka akan tersandung dan jatuh,
tetapi kita akan bangkit dan berdiri teguh.
10 Berikanlah kemenangan kepada raja, ya TUHAN;
jawablahm kami apabila kami berseru.
m 20:10 Beberapa terjemahan kuno: jawablah; Naskhah Ibrani: Dia akan menjawab.