128
Berkat kerana Taat kepada TUHAN
Lagu ziarah.
Berbahagialah orang yang taat kepada TUHAN,
yang hidup menurut perintah-Nya.
Hasil jerih payahmu akan mencukupi keperluanmu;
engkau akan berbahagia dan makmur.
Isterimu akan menjadi seperti pokok anggur yang subur di dalam rumahmu,
dan anak-anakmu umpama pokok zaitun yang muda di sekeliling mejamu.
Orang yang taat kepada TUHAN
pasti akan diberkati sedemikian.
Semoga TUHAN yang di Sion memberkati kamu!
Semoga engkau melihat Yerusalem makmur seumur hidupmu!
Semoga engkau panjang umur
untuk melihat cucu-cucumu!
Sejahteralah Israel!