Husai Menggagalkan Rancangan Ahitofel
17
Tidak lama kemudian, Ahitofel berkata kepada Absalom, “Benarkanlah hamba memilih dua belas ribu orang. Pada malam ini hamba akan berangkat untuk mengejar Raja Daud. Hamba akan menyerang baginda waktu baginda masih letih dan lemah semangat. Baginda akan ketakutan sehingga semua anak buahnya melarikan diri. Hanya Raja Daud yang akan hamba bunuh. Semua anak buahnya akan hamba kembalikan kepada tuanku seperti pengantin perempuan kembali kepada suaminya. Bukankah tuanku hanya menginginkan nyawa satu orang?k Orang lain tidak akan diapa-apakan.” Nasihat itu dipandang baik oleh Absalom dan oleh semua pemimpin orang Israel.
Meskipun begitu Absalom berkata, “Panggillah Husai. Mari kita dengar pendapatnya.” Ketika Husai datang menghadap, Absalom memberitahukan rancangan Ahitofel, lalu berkata, “Begitulah nasihat Ahitofel. Adakah kita hendak menurut nasihat itu? Jika tidak, berilah cadangan lain.”
Husai menjawab, “Nasihat Ahitofel kali ini tidak baik. Tuanku tentu tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya itu pejuang yang gagah berani. Mereka seganas beruang betina yang kehilangan anaknya. Lagipun Raja Daud seorang askar berpengalaman, yang tidak pernah bermalam bersama-sama anak buahnya. Mungkin pada saat ini pun baginda sedang bersembunyi di dalam sebuah gua atau di tempat lain. Sebaik saja anak buah tuanku diserang oleh Raja Daud, dan ada yang mati, maka sesiapa saja yang mendengar hal itu akan berkata bahawa anak buah tuanku sudah dikalahkan. 10 Akibatnya, orang yang paling berani dan gagah perkasa seperti singa pun tentu akan menjadi takut. Semua orang di Israel tahu bahawa ayahanda tuanku itu seorang pahlawan, dan bahawa anak buahnya itu pejuang-pejuang yang gagah berani. 11 Oleh sebab itu, nasihat hamba begini: Kumpulkanlah semua orang Israel dari seluruh negeri, sehingga jumlahnya sebanyak pasir di pantai. Kemudian tuanku sendiri mengetuai mereka maju bertempur. 12 Kita akan mencari Raja Daud di mana saja baginda berada, lalu kita menyerang baginda sebelum baginda sedar akan apa yang terjadi. Tiada seorang pun yang akan terlepas, baik baginda mahupun anak buahnya. 13 Jika baginda lari ke dalam sebuah kota, segenap rakyat kita akan mengambil tali-temali dan menyeret kota itul lalu menjatuhkannya ke dalam lembah yang terdekat. Seketul batu pun tidak akan ada yang tertinggal di atas bukit itu.”
14 Setelah Absalom dan semua orang Israel mendengar cadangan itu, mereka berkata, “Nasihat Husai lebih baik daripada nasihat Ahitofel.” TUHAN sudah menentukan untuk menggagalkan nasihat Ahitofel yang baik itu, supaya Absalom ditimpa malapetaka.
Raja Daud Menyelamatkan Diri
15 Selepas itu Husai memberi laporan kepada Imam Zadok dan Imam Abyatar tentang nasihat Ahitofel dan nasihatnya sendiri kepada Absalom dan para pemimpin Israel. 16 Husai berkata, “Cepat! Beritahulah Raja Daud supaya tidak bermalam di tempat penyeberangan sungai di padang gurun. Baginda harus segera menyeberangi Sungai Yordan. Jika tidak, baginda dan semua anak buahnya akan ditangkap dan dibunuh.”
17 Sementara itu Yonatan anak Abyatar dan Ahimaas anak Zadok sedang menunggu dekat mata air En-Rogel, di pinggir kota Yerusalem. Mereka tidak berani masuk ke kota kerana takut dilihat orang. Seperti biasa, mereka mendapat khabar daripada seorang hamba perempuan yang menyampaikan berita yang harus dilaporkan kepada Raja Daud. 18 Tetapi kali itu seorang anak lelaki kebetulan melihat mereka, lalu memberitahukan hal itu kepada Absalom. Oleh itu Yonatan dan Ahimaas cepat-cepat pergi dan bersembunyi di rumah seorang penduduk kampung Bahurim. Di halaman rumahnya itu ada sebuah perigi, lalu mereka masuk ke dalam perigi itu. 19 Isteri pemilik rumah itu membentangkan penutup di atas lubang perigi itu lalu menaburkan gandum di atasnya, sehingga perigi itu tidak kelihatan. 20 Orang suruhan Absalom datang ke rumah itu dan bertanya kepada wanita tadi, “Di manakah Ahimaas dan Yonatan?”
“Mereka baru saja menyeberangi sungai,” jawabnya.
Orang suruhan itu mencari kedua-dua orang pemuda itu, tetapi tidak menjumpai mereka. Kemudian orang suruhan itu pulang ke Yerusalem. 21 Ahimaas dan Yonatan keluar dari perigi itu, lalu segera pergi menemui Raja Daud. Mereka melaporkan segala hal yang berlaku. Mereka berkata, “Ahitofel memberi nasihat untuk menyerang tuanku. Oleh itu berangkatlah sekarang juga dan seberangilah sungai ini.” 22 Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya menyeberangi Sungai Yordan, lalu sampai di seberang pada waktu fajar.
23 Apabila Ahitofel mengetahui bahawa nasihatnya tidak dituruti, dia memasang pelana keldainya lalu pulang ke kotanya sendiri. Setelah menyelesaikan segala urusannya, dia menggantung diri. Kemudian dia dikuburkan di dalam kuburan keluarganya.
24 Raja Daud sudah sampai di kota Mahanaim ketika Absalom menyeberangi Sungai Yordan dengan diiringi oleh orang Israel. ( 25 Absalom sudah melantik Amasa menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab. Amasa anak Yitra, orang Ismael;m ibunya bernama Abigail anak Nahas, saudara perempuan Zeruya, ibu Yoab.) 26 Absalom dan anak buahnya berkhemah di daerah Gilead.
27 Ketika Raja Daud tiba di Mahanaim, baginda disambut oleh Sobi anak Nahas dari kota Raba di Amon, dan oleh Makhir anak Amiel dari Lodebar, dan oleh Barzilai dari Rogelim di Gilead. 28-29 Mereka membawa mangkuk, kuali tembikar, dan kain tidur untuk Raja Daud dan anak buahnya. Mereka juga membawa gandum, barli, tepung, bertih, kacang merah, kacang merah besar, madu, keju, krim, dan beberapa ekor domba. Mereka tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya lapar, haus, dan lelah kerana perjalanan di padang gurun.
k 17:3 Sebuah terjemahan kuno: seperti pengantin...nyawa satu orang? Naskhah Ibrani: seperti kembalinya keseluruhan yang utuh, demikianlah orang yang tuanku cari. l 17:13 Beberapa buah terjemahan kuno: kota itu. Naskhah Ibrani: dia. m 17:25 Sebuah terjemahan kuno: Ismael. Naskhah Ibrani: Israel.