98
Allah Penguasa Dunia
Mazmur.
Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN;
Dia telah melakukan perbuatan yang menakjubkan!
Dengan kuasa dan kekuatan-Nya sendiri,
Dia telah mencapai kemenangan.
TUHAN mengumumkan kemenangan-Nya;
Dia menyatakan keadilan-Nya kepada bangsa-bangsa.
Dia menepati janji-Nya kepada orang Israel, umat-Nya
dengan kasih dan kesetiaan kepada mereka.
Semua bangsa di seluruh dunia
telah melihat kemenangan Allah kita.
Hai seluruh bumi, bernyanyilah untuk TUHAN dengan girang;
pujilah Dia dengan lagu dan sorakan!
Nyanyikanlah pujian untuk TUHAN,
pujilah Dia dengan memetik kecapi.
Tiuplah trompet dan sangkakala,
bersoraklah di hadapan TUHAN, Raja kita!
Berderulah,
hai laut dan segala isimu,
bernyanyilah,
hai bumi dan semua yang mendiamimu.
Bertepuk tanganlah,
hai sungai-sungai;
bersorak-sorailah di hadapan TUHAN, hai bukit-bukit,
kerana TUHAN datang untuk memerintah bumi.
Dia akan memerintah penduduk dunia dengan adil dan jujur.