9
Doa Kesyukuran kerana Allah Adil
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu Mut-Laben. Mazmur Daud.
Aku akan memuji Engkau dengan segenap hatiku, TUHAN,
dan menceritakan segala keajaiban yang telah Engkau lakukan.
Aku akan menyanyi dengan riang kerana Engkau,
dan menyanyikan pujian kepada-Mu, Yang Maha Tinggi.
Ketika Engkau muncul, musuhku berpatah balik;
mereka jatuh tersandung lalu mati.
Engkau memerintah sebagai hakim yang adil,
dan Engkau telah membela perkaraku.
Engkau telah menghukum bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu,
dan membinasakan orang jahat;
mereka tidak akan dikenang lagi.
Musuh kami lenyap selama-lamanya;
Engkau telah memusnahkan kota-kota mereka,
dan mereka dilupakan sama sekali.
Tetapi TUHAN memerintah selama-lamanya;
Dia mendirikan takhta-Nya untuk menghakimi dunia.
Dia memerintah dunia dengan adil,
dan menghakimi rakyat dengan saksama.
10 TUHAN adalah pernaungan bagi orang yang ditindas,
tempat perlindungan pada masa kesusahan.
11 Mereka yang mengenal Engkau yakin kepada-Mu, ya TUHAN;
sesiapa pun yang datang kepada-Mu tidak Kautinggalkan.
12 Pujilah TUHAN yang memerintah di Sion!
Beritakanlah perbuatan-Nya kepada setiap bangsa!
13 Allah ingat akan mereka yang menderita;
Dia tidak melupakan tangisan mereka,
Dia menghukum orang yang berlaku kejam terhadap mereka.
14 Kasihanilah aku, ya TUHAN!
Lihatlah, musuhku menyengsarakan aku.
Selamatkanlah aku daripada maut, ya TUHAN,
15 supaya aku dapat memuji Engkau
di hadapan penduduk Yerusalem.
Aku akan bersorak gembira
kerana Engkau menyelamatkan aku.
16 Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Engkau
jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri;
mereka memasang perangkap,
tetapi mereka sendiri terperangkap.
17 TUHAN menyatakan diri-Nya dengan keputusan yang adil;
orang jahat terperangkap oleh perbuatan mereka sendiri.
18 Maut ialah kesudahan semua orang jahat,
semua orang yang menolak Allah.
19 Orang miskin tidak selamanya dilupakan;
orang papa tidak selamanya kehilangan harapan.
20 Bangkitlah, ya TUHAN, hakimilah bangsa-bangsa,
jangan biarkan manusia terlepas daripada hukuman.
21 Buatlah mereka takut, ya TUHAN;
sedarkanlah mereka bahawa mereka itu hanya insan.