77
Penghiburan pada Masa Kesusahan
Untuk pemimpin koir. Menurut: Yedutun. Mazmur Asaf.
Aku berseru dengan nyaring kepada Allah;
dengan nyaring aku berseru supaya Dia mendengar.
Pada masa kesusahan aku berdoa kepada Tuhan;
sepanjang malam aku menadahkan tangan sambil berdoa,
tetapi aku tidak terhibur.
Ketika aku teringat kepada Allah, aku mengeluh;
apabila aku bermenung, hilanglah semangatku.
Allah membuat aku tidak dapat tidur;
aku begitu khuatir sehingga tidak dapat bertutur.
Aku teringat akan masa dahulu,
hari dan tahun yang sudah lalu.
Sepanjang malam aku berfikir dalam-dalam;b
bermenung dan bertanya dalam hati,
“Adakah Allah menolak kita selama-lamanya?
Tidakkah Dia berkenan lagi kepada kita?
Tidakkah Dia mengasihi kita lagi?
Tidakkah Dia memenuhi janji-Nya lagi?
10 Adakah Allah telah lupa mengasihani kita?
Murkakah Dia, sehingga tidak berbelas kasihan lagi?”
11 Kemudian aku berkata, “Inilah yang paling menyakiti hatiku,
bahawa Allah tidak berkuasa lagi.”
12 Aku akan mengingat perbuatan-Mu yang besar, ya TUHAN.
Aku akan mengenang keajaiban yang Engkau lakukan pada zaman dahulu.
13 Aku akan memikirkan segala yang Engkau lakukan,
aku akan merenungkan segala perbuatan-Mu.
14 Ya Allah, segala yang Engkau lakukan itu suci.
Siapakah sebesar Allah kami?
15 Engkaulah Allah yang melakukan mukjizat;
Engkau menunjukkan kuasa-Mu antara bangsa-bangsa.
16 Dengan kuasa-Mu, Engkau menyelamatkan umat-Mu,
keturunan Yakub dan Yusuf.
17 Ya Allah, laut gentar apabila melihat Engkau,
bahkan dasar laut pun gementar.
18 Awan mencurahkan hujan;
guruh mengguntur di langit,
dan kilat memancar ke segala jurusan.
19 Guruh menggelegar, kilat memancar,
bumi bergoncang dan gementar.
20 Engkau berjalan melalui ombak;
Engkau menyeberangi lautan yang dalam,
namun jejak kaki-Mu tidak kelihatan.
21 Engkau memimpin umat-Mu seperti seorang gembala,
bersama-sama Musa dan Harun yang mengetuai mereka.
b 77:7 Beberapa terjemahan kuno: berfikir dalam-dalam; Naskhah Ibrani: bernyanyi.