61
Doa Minta Perlindungan
Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Mazmur Daud.
Dengarlah seruanku, ya Allah,
dengarlah doaku!
Dari negeri yang jauh aku berseru kepada-Mu,
kerana aku putus asa.
Bawalah aku ke tempat perlindungan yang selamat,
kerana Engkaulah pelindungku,
pertahanan yang kuat terhadap musuhku.
Izinkanlah aku tinggal di khemah-Mu sepanjang hidupku;
supaya aku selamat di bawah naungan sayap-Mu.
Ya Allah, Engkau telah mendengar janjiku,
dan memberikan pusaka orang yang menghormati Engkau kepadaku.
Lanjutkanlah usia raja,
semoga kerajaannya berlanjutan turun-temurun.
Semoga raja memerintah selama-lamanya di hadirat-Mu;
ya Allah, lindungilah raja dengan kesetiaan dan kasih-Mu.
Maka aku akan selalu menyanyikan pujian kepada-Mu,
dan setiap hari aku akan menepati janjiku.