50
Ibadat yang Sejati
Mazmur Asaf.
TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa berfirman;
Dia berseru kepada seluruh bumi dari timur sampai ke barat.
Dari Sion, kota yang terindah,
Allah bersinar seperti matahari.
Apabila Allah kita datang, Dia tidak diam;
api yang bernyala-nyala mendahului Dia,
ribut yang sangat kencang mengelilingi-Nya.
Dia menyuruh syurga dan bumi menjadi saksi,
untuk melihat Dia menghakimi umat-Nya.
Dia berfirman, “Himpunkanlah umat-Ku yang setia,
yang telah mengikat perjanjian dengan Aku
dan mengukuhkannya dengan mempersembahkan korban.”
Langit mengisytiharkan keadilan Allah,
kerana Allah itu hakim.
“Dengarlah, hai umat-Ku, Aku akan berfirman;
Aku akan menyalahkan kamu, hai Israel.
Akulah Allah, Allah kamu.
Aku tidak menyalahkan kamu kerana persembahan kamu,
dan korban untuk menyenangkan hati-Kuf yang selalu kamu persembahkan.
Aku tidak memerlukan lembu jantan dari ladang kamu,
ataupun kambing daripada ternakan kamu,
10 kerana haiwan di hutan milik-Ku,
dan juga lembu di atas ribuan bukit.
11 Semua burung liar kepunyaan-Ku,
juga semua makhluk hidup di padang.
12 Jika Aku lapar, Aku tidak minta makanan daripada kamu,
kerana dunia serta segala isinya milik-Ku.
13 Adakah Aku makan daging lembu jantan,
ataupun minum darah kambing?
14 Persembahkanlah ucapan syukur sebagai korban kepada Allah,g
berikanlah segala persembahan yang kamu janjikan kepada Yang Maha Kuasa.
15 Berserulah kepada-Ku pada masa kesusahan;
Aku akan menyelamatkan kamu,
dan kamu akan memuji Aku.”
16 Tetapi Allah berfirman kepada orang jahat,
“Kamu tidak berhak menghafaz hukum-Ku
dan membincangkan perjanjian-Ku,
17 kerana kamu tidak mahu menerima tegur ajar-Ku;
kamu menolak perintah-Ku.
18 Apabila kamu melihat pencuri, kamu berkawan dengan mereka,
kamu bergaul dengan orang yang berzina.
19 Kamu sentiasa mengatakan yang jahat;
dengan tidak ragu-ragu kamu berdusta.
20 Kamu sedia menuduh saudara kamu,
dan memfitnah saudara sekandung.
21 Itulah yang kamu lakukan,
tetapi Aku diam sahaja,
maka kamu berfikir Aku seperti kamu juga.
Tetapi sekarang Aku mencela kamu,
dan menjadikan perkara itu nyata bagi kamu.
22 Dengarlah, hai kamu yang melupakan Aku,
jika tidak, Aku akan membinasakan kamu;
dan tidak seorang pun dapat menyelamatkan kamu.
23 Orang yang mempersembahkan ucapan syukur sebagai korban untuk menghormati Aku,
dan orang yang taat kepada-Ku akan Kuselamatkan.”
f 50:8 korban untuk menyenangkan hati-Ku; Harfiah: korban bakar. (Lihat Kamus.) g 50:14 Persembahkanlah...Allah; atau Persembahkanlah korban kesyukuran kepada Allah.