149
Lagu Pujian
Pujilah TUHAN!
Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN;
pujilah Dia dalam perhimpunan umat-Nya yang setia!
Bergembiralah, hai orang Israel, kerana Pencipta kamu;
bersukacitalah, hai penduduk Sion, kerana Raja kamu!
Pujilah nama-Nya dengan tarian;
pujilah Dia dengan memainkan kecapi dan tamburin.
TUHAN berkenan kepada umat-Nya;
Dia memberikan kemenangan kepada orang yang bergantung kepada-Nya.
Hendaklah umat Allah bersukacita kerana mereka menang,
dan bernyanyi dengan gembira sepanjang malam.
Hendaklah mereka memuji Allah dengan bersorak-sorak,
sambil memegang pedang yang tajam
untuk mengalahkan bangsa-bangsa,
dan menghukum rakyat mereka;
untuk membelenggu raja-raja
dan merantai pemimpin mereka,
untuk menghukum bangsa-bangsa menurut perintah Allah.
Itulah kemenangan umat Allah.
Pujilah TUHAN!