12
Doa Minta Tolong
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu yang kelapan. Mazmur Daud.
Tolonglah kami, ya TUHAN,
kerana tidak ada lagi orang yang baik;
orang yang jujur tidak dapat dijumpai lagi.
Semua manusia saling membohongi,
dan saling menipu dengan kata-kata manis.
Hentikanlah kata-kata manis itu, ya TUHAN,
dan bungkamkan mulut yang bercakap besar,
“Kami berkuasa dengan mulut kami.
Kami akan bercakap sesuka hati;
tidak sesiapa dapat menghalang kami.”
TUHAN berfirman, “Orang miskin ditindas,
dan orang yang dianiaya mengerang.
Maka sekarang juga Aku datang
memberikan ketenteraman yang diingini mereka.”
Janji TUHAN teguh dan dapat dipercayai;
seperti perak yang dimurnikan berkali-kali di dalam api.
8-9 Orang jahat terdapat di merata-rata tempat,
dan setiap orang menyanjung kejahatan.
Selamatkanlah kami, ya TUHAN,
peliharakanlah kami daripada orang seperti itu.