Manfaat Memiliki Hikmat
4
Hai anak-anak, dengarlah ajaran bapa kamu. Dengarlah baik-baik, supaya kamu menjadi arif. Hal yang aku ajarkan kepada kamu baik, oleh itu ingatlah ajaranku. Ketika aku masih kanak-kanak, sebagai anak lelaki tunggal, bapaku sentiasa mengajar aku. Katanya, “Ingatlah ajaranku dan jangan lupakannya. Lakukanlah perintahku supaya kamu hidup bahagia. Hendaklah kamu bijak dan cerdas. Jangan lupakan ataupun abaikan nasihatku. Jangan tinggalkan hikmat, maka hikmat akan melindungi kamu; cintailah hikmat, maka hikmat akan menjaga kamu agar kamu selamat. Perkara yang paling mustahak yang harus kamu usahakan adalah mendapat hikmat. Apa pun yang kamu kejar, yang terutama adalah mendapat pengertian. Cintailah hikmat, maka kamu akan ditinggikannya. Peluklahb hikmat, maka kamu akan dimuliakannya. Hikmat akan menjadi mahkota kemegahanmu.”
10 Hai anakku, dengarlah kataku. Perhatikanlah baik-baik nasihatku supaya panjang umurmu. 11 Aku sudah mengajar kamu hikmat dan cara hidup yang benar. 12 Jika kamu hidup demikian, kamu tidak akan terhalang ketika berjalan, dan kamu tidak akan tersandung ketika berlari. 13 Hendaklah kamu sentiasa ingat akan ajaran yang telah kamu terima daripadaku. Jagalah ajaran itu baik-baik, kerana dengan ajaran itu hidupmu akan berhasil. 14 Jangan ke tempat orang jahat pergi dan jangan contohi mereka. 15 Jangan taruh perhatian kepada mereka. Jauhilah mereka dan jalanlah terus. 16 Orang jahat tidak dapat tidur sebelum melakukan kejahatan. Mereka tidak mengantuk sebelum mencelakakan orang lain. 17 Kejahatan dan keganasan seolah-olah makanan dan minuman mereka.
18 Kehidupan orang baik bagaikan terbitnya matahari, kian lama kian cerah sehingga hari pun terang. 19 Tetapi kehidupan orang jahat gelap seperti malam. Mereka tersandung dan jatuh, namun tidak dapat melihat apa yang menyebabkannya.
20 Hai anakku, perhatikanlah nasihatku. Dengarlah kata-kataku. 21 Jangan sekali-kali kamu lupakannya. Ingatlah dan simpanlah kata-kataku dalam hatimu. 22 Sesiapa yang memahami nasihatku itu akan hidup dan menjadi sihat. 23 Berhati-hatilah tentang apa yang kamu fikirkan, kerana pemikiranmu menentukan hidupmu. 24 Jangan katakan apa yang tidak benar. Jangan ucapkan dusta dan kata-kata yang menyesatkan orang. 25 Pandanglah ke hadapan dengan keyakinan yang sungguh-sungguh, dan jangan tundukkan kepalamu kerana malu. 26 Buatlah rancanganmu dengan teliti supaya apa sahaja yang kamu lakukan akan berjaya. + 27 Jauhkanlah dirimu daripada kejahatan dan hiduplah dengan jujur. Jangan menyimpang sedikit pun dari jalan yang benar.
b 4:8 Peluklah; atau Hargailah. + 4:26 Ibr 12.13