Nabi Mikha Memberikan Amaran kepada Raja Ahab
(2 Taw 18.2-27)
22
Selama dua tahun tidak ada peperangan antara Israel dengan Siria. Tetapi pada tahun ketiga, Raja Yosafat dari Yehuda menemui Raja Ahab dari Israel.
Raja Ahab bertanya kepada para pegawainya, “Mengapakah kita masih belum berbuat apa-apa untuk merampas semula kota Ramot di Gilead daripada raja negeri Siria? Ramot milik kita!” Raja Ahab bertanya kepada Raja Yosafat, “Mahukah tuanku menyertai beta untuk menyerang Ramot?”
Raja Yosafat menjawab, “Beta bersedia menyertai tuanku. Demikian juga askar dan pasukan berkuda beta. Tetapi marilah kita bertanya kepada TUHAN dahulu.”
Oleh itu Raja Ahab memanggil nabi-nabi yang berjumlah kira-kira empat ratus orang. Raja Ahab bertanya kepada mereka, “Bolehkah beta menyerang Ramot atau tidak?”
“Seranglah,” jawab mereka. “TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.”
Tetapi Raja Yosafat bertanya lagi, “Tiadakah nabi lain yang dapat menanyakan hal ini kepada TUHAN?”
Raja Ahab menjawab, “Ada seorang lagi, Mikha anak Yimla. Tetapi beta membenci dia, kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang hal yang buruk.”
Raja Yosafat menjawab, “Tuanku tidak seharusnya bertitah demikian.”
Oleh itu Raja Ahab memanggil seorang pegawai istana dan menyuruh dia cepat-cepat menjemput Mikha.
10 Kedua-dua orang raja itu, yang berpakaian kebesaran, bersemayam di atas takhta di tempat mengirik gandum, di luar pintu gerbang Samaria. Semua nabi sedang bernubuat di hadapan mereka berdua. 11 Zedekia anak Kenaana, salah seorang nabi itu, membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata kepada Raja Ahab, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Dengan tanduk-tanduk besi ini engkau akan melawan orang Siria sehingga mereka kalah sama sekali.’” 12 Semua nabi yang lain juga berkata demikian. Mereka berkata, “Majulah menyerang Ramot. Tuanku pasti menang. TUHAN akan memberi tuanku kemenangan.”
13 Sementara itu, pegawai yang pergi menjemput Mikha berkata kepadanya, “Semua nabi yang lain telah bernubuat bahawa raja akan menang. Sebaiknya engkau pun bernubuat demikian.”
14 Tetapi Mikha menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, saya berjanji bahawa saya hanya akan mengatakan apa yang difirmankan-Nya!”
15 Apabila Mikha menghadap Raja Ahab, baginda bertanya kepadanya, “Mikha, bolehkah Raja Yosafat dan beta menyerang Ramot atau tidak?”
“Seranglah!” jawab Mikha. “Tentu tuanku akan menang. TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.”
16 Tetapi Raja Ahab bertitah, “Jika engkau berkata-kata kepada beta atas nama TUHAN, katakanlah yang benar. Berapa kali harus beta peringatkan engkau tentang hal ini?”
17 Mikha menjawab, “Hamba nampak tentera Israel tercerai-cerai di bukit-bukit seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala. TUHAN berfirman, ‘Semua orang ini tidak mempunyai pemimpin; biarlah mereka pulang dengan selamat.’” +
18 Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Beta telah memberitahu tuanku bahawa dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta! Dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk!”
19 Mikha berkata lagi, “Dengarlah firman TUHAN! Hamba nampak TUHAN bersemayam di takhta-Nya di syurga, dan semua malaikat-Nya berdiri di sekeliling-Nya. + 20 TUHAN bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot lalu terbunuh di sana?’ Jawapan malaikat-malaikat itu berbeza-beza. 21 Kemudian satu roh tampil dan menghadap TUHAN. Roh itu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Lalu TUHAN bertanya, 22 ‘Bagaimana?’ Roh itu menjawab, ‘Aku akan menyebabkan semua nabi Ahab berdusta.’ TUHAN berfirman, ‘Pergilah perdayakan dia. Engkau akan berjaya.’”
23 Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah membuat nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka!”
24 Nabi Zedekia menghampiri Mikha, menampar pipinya, lalu bertanya, “Sejak bilakah Roh TUHAN meninggalkan aku dan berfirman kepadamu?”
25 Mikha menjawab, “Engkau akan mengetahui hal ini apabila engkau bersembunyi di salah sebuah bilik belakang.”
26 Kemudian Raja Ahab bertitah kepada salah seorang pegawainya, “Tangkaplah Mikha dan bawalah dia kepada Amon, gabenor kota itu, dan kepada Putera Yoas. 27 Suruh mereka memasukkan dia ke dalam penjara, dan memberi dia roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.”
28 Mikha berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, nyatalah bahawa TUHAN tidak berfirman melalui hamba!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah, hai semua orang, akan apa yang telah saya katakan ini.”
Raja Ahab Mangkat
(2 Taw 18.28-34)
29 Kemudian Raja Ahab, raja Israel dan Raja Yosafat, raja Yehuda pergi menyerang kota Ramot di Gilead. 30 Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Apabila kita bertempur, beta akan menyamar, tetapi tuanku akan memakai pakaian kebesaran.” Oleh itu raja Israel menyamar ketika pergi bertempur.
31 Raja negeri Siria telah memerintah tiga puluh dua orang panglima pasukan kereta kudanya supaya tidak menyerang sesiapa pun kecuali raja Israel. 32 Apabila mereka nampak Raja Yosafat, mereka menyangka bahawa baginda raja Israel. Oleh itu mereka berpaling dan menyerang baginda. Tetapi apabila Raja Yosafat berteriak, 33 mereka sedar bahawa baginda bukan raja Israel, lalu mereka berhenti menyerang baginda. 34 Kebetulan salah seorang askar negeri Siria melepaskan anak panah yang mengenai Raja Ahab pada sambungan baju zirahnya. “Beta luka!” teriak Raja Ahab kepada pemandu kereta kudanya. “Pusingkan kereta kuda dan keluarlah dari pertempuran ini!”
35 Sementara pertempuran itu berkobar, Raja Ahab menopang diri di atas kereta kudanya yang berhadapan dengan tentera Siria. Darah mengalir dari lukanya, sehingga membasahi lantai kereta kuda baginda. Pada petangnya baginda mangkat. 36 Menjelang matahari terbenam, segenap tentera Israel diperintahkan pulang ke kota dan daerah masing-masing.
37 Demikianlah Raja Ahab mangkat. Jenazahnya dibawa ke Samaria lalu dimakamkan. 38 Kereta kudanya dicuci di kolam Samaria, tempat anjing-anjing menjilat darahnya dan para pelacur mandi, tepat seperti yang difirmankan TUHAN.
39 Segala perbuatan Raja Ahab, termasuk kisah istana yang dihiasi gading dan kota-kota yang dibinanya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. 40 Dengan kemangkatan Raja Ahab, puteranya Ahazia, menggantikan baginda sebagai raja.
Raja Yosafat, Raja Yehuda
(2 Taw 20.31—21.1)
41 Pada tahun keempat pemerintahan Raja Ahab di Israel, Raja Yosafat, putera Raja Asa menjadi raja Yehuda. 42 Pada masa itu Raja Yosafat berusia 35 tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama 25 tahun. Bondanya ialah Azuba anak Silhi. 43 Seperti ayahandanya dahulu, Raja Yosafat melakukan apa yang benar di sisi TUHAN. Tetapi tempat-tempat penyembahan dewa tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ. 44 Pada masa itu Raja Yosafat mempunyai hubungan baik dengan raja Israel.
45 Segala perbuatan Raja Yosafat, termasuk kepahlawanannya dan segala peperangannya tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. 46 Raja Yosafat menghapuskan semua pelacur lelaki dan perempuan yang bertugas di tempat-tempat penyembahan dewa. Pelacur-pelacur itu dibunuh pada zaman pemerintahan Raja Asa, ayahanda Raja Yosafat.
47 Pada zaman itu negeri Edom tidak mempunyai raja. Negeri Edom diperintah oleh seorang wakil raja yang dilantik oleh raja Yehuda.
48 Raja Yosafat membina kapal-kapal laut untuk belayar ke Ofir supaya mengambil emas, tetapi kapal-kapal itu rosak di Ezion-Geber, lalu tidak berjaya belayar ke sana. 49 Raja Ahazia menawarkan anak kapalnya supaya belayar dengan anak kapal Raja Yosafat, tetapi Raja Yosafat menolak tawaran itu.
50 Kemudian Raja Yosafat mangkat lalu dimakamkan di tanah perkuburan diraja di Kota Daud. Yehoram, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
Raja Ahazia, Raja Israel
51 Pada tahun ketujuh belas pemerintahan Raja Yosafat di Yehuda, Ahazia, putera Raja Ahab menjadi raja di Israel. Raja Ahazia memerintah di Samaria selama dua tahun. 52 Raja Ahazia berdosa terhadap TUHAN dan mengikut perbuatan ayahandanya Raja Ahab, bondanya Izebel dan Raja Yerobeam, yang telah menyebabkan umat Israel berdosa. 53 Raja Ahazia bersembahyang kepada Baal, dan mengabdi kepadanya. Sama seperti ayahandanya dahulu, baginda membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel.
+ 22:17 Bil 27.17; Mat 9.36; Mrk 6.34 + 22:19 Yes 6.1; Ayb 1.6