13
Pada masa itu, ada seorang nabi dari Yehuda. Dia disuruh oleh TUHAN untuk pergi ke Betel. Nabi itu tiba di sana ketika Raja Yerobeam berdiri di depan mazbah untuk mempersembahkan korban. Atas perintah TUHAN, nabi itu mengecam mazbah di sana, katanya, “Hai mazbah, mazbah, demikianlah firman TUHAN: Seorang anak yang bernama Yosia akan dilahirkan dalam keluarga Raja Daud. Di atasmu, hai mazbah, dia akan menyembelih imam-imam yang bertugas di tempat penyembahan berhala, dan yang mempersembahkan korban di atasmu. Dia akan membakar tulang-tulang manusia di atasmu.” + Nabi itu meneruskan lagi, “Mazbah ini akan roboh, dan abu yang ada di atasnya akan bertaburan. Itulah buktinya bahawa TUHAN telah berfirman melalui aku.”
Apabila Raja Yerobeam mendengar hal itu, baginda bertitah sambil menunjuk nabi itu, “Tangkap dia!” Ketika itu juga lengan raja menjadi kejang sehingga baginda tidak dapat menariknya semula. Mazbah itu tiba-tiba roboh dan abunya bertaburan di tanah, seperti yang dinubuatkan oleh nabi itu atas nama TUHAN. Raja Yerobeam bertitah kepada nabi itu, “Tolonglah berdoa kepada TUHAN, Allahmu untuk beta, dan mintalah supaya Dia menyembuhkan lengan beta!”
Nabi itu berdoa kepada TUHAN, maka lengan raja disembuhkan. Lalu raja bertitah kepada nabi itu, “Marilah makan di rumah beta. Beta akan menghadiahi kamu bagi jasamu itu.”
Nabi itu menjawab. “Walaupun tuanku memberi hamba separuh daripada harta tuanku, hamba tidak akan ikut tuanku, atau makan minum bersama-sama tuanku. TUHAN telah memerintah hamba supaya tidak makan atau minum apa pun dan tidak pulang mengikut jalan hamba datang dahulu.” 10 Demikianlah nabi itu tidak pulang mengikut jalan yang diikutinya dahulu, tetapi mengambil jalan yang lain.
Seorang Nabi Tua di Betel
11 Pada masa itu, ada seorang nabi tua yang tinggal di Betel. Anak-anaknyaj datang memberitahu dia apa yang telah dibuat oleh nabi dari Yehuda pada hari itu di Betel, dan apa yang telah dikatakannya kepada Raja Yerobeam. 12 Nabi tua itu bertanya kepada anak-anaknya, “Nabi dari Yehuda itu mengambil jalan yang mana ketika dia pulang?” Mereka menunjukkan jalan yang diikuti nabi itu kepadanya.k 13 Nabi tua itu menyuruh anak-anaknya memasang pelana pada keldainya. Setelah mereka berbuat demikian, dia menunggang keldai itu 14 lalu mengejar nabi dari Yehuda itu. Kemudian dia menjumpai nabi itu sedang duduk di bawah sepohon pokok besar. Nabi tua itu bertanya kepadanya, “Kamukah nabi dari Yehuda itu?”
“Ya,” jawab nabi itu.
15 “Marilah pulang dan makan bersama-sama saya,” kata nabi tua itu.
16 Tetapi nabi dari Yehuda itu menjawab, “Saya tidak boleh ikut tuan, atau masuk ke rumah tuan. Saya tidak boleh minum atau makan apa-apa di sini. 17 TUHAN telah melarang saya makan atau minum apa-apa pun, dan melarang saya pulang mengikut jalan saya datang dahulu.”
18 Lalu nabi tua dari Betel itu berkata kepadanya, “Saya pun seorang nabi seperti kamu. Atas perintah TUHAN, satu malaikat menyuruh saya membawa kamu pulang dan menjamu kamu di rumah saya.” Sebenarnya nabi tua itu berbohong.
19 Oleh itu nabi dari Yehuda itu mengikut dia pulang dan makan bersama-samanya. 20 Sedang mereka makan, TUHAN berfirman kepada nabi tua itu, 21 lalu dia menyampaikan firman itu kepada nabi yang dari Yehuda, “TUHAN berfirman bahawa kamu tidak taat kepada-Nya, dan bahawa kamu tidak melakukan perintah-Nya. 22 Sebaliknya, kamu balik dan makan di tempat yang telah dilarang-Nya. Oleh itu kamu akan dibunuh, dan mayatmu tidak akan dikebumikan di perkuburan keluargamu.”
23 Setelah makan, nabi tua itu memasang pelana keldai untuk nabi dari Yehuda, 24 lalu nabi itu pun pergi. Di tengah jalan, seekor singa menerkam dia dan membunuhnya. Mayatnya terletak di tengah jalan, sementara keldai dan singa itu berdiri di sisinya. 25 Beberapa orang yang lalu di situ nampak mayat itu dan singa yang berdiri di sisinya. Mereka pergi ke Betel dan melaporkan hal itu.
26 Apabila nabi tua itu mendengarnya, dia berkata, “Itulah nabi yang tidak taat kepada perintah TUHAN! Oleh itu TUHAN mengirim seekor singa untuk menerkam dan membunuhnya, seperti yang difirmankan TUHAN.” 27 Setelah itu dia berkata kepada anak-anaknya, “Pasanglah pelana keldaiku.” Mereka pun berbuat demikian. 28 Dia menunggang keldainya, lalu pergi. Dia menjumpai mayat nabi itu terlentang di tengah jalan, dan keldai serta singa berdiri di sisinya. Singa itu tidak makan mayat itu ataupun menerkam keldai. 29-30 Nabi tua itu mengangkat mayat itu, meletakkannya di atas keldainya, lalu membawanya pulang ke Betel. Dia meratapinya lalu mengebumikannya di perkuburan keluarganya sendiri. Dia dan anak-anaknya meratapinya, dan berkata, “Kasihan engkau, hai saudaraku, saudaraku!” 31 Kemudian nabi itu berkata kepada anak-anaknya, “Apabila aku meninggal, kuburlah aku di kubur ini, dan letakkanlah mayatku di sisi mayatnya. 32 Firman TUHAN yang disampaikannya terhadap mazbah di Betel itu dan semua tempat sembahyang di kota-kota Samaria pasti akan berlaku.”
Raja Yerobeam Berbuat Dosa
33 Raja Yerobeam, di Israel masih tidak meninggalkan perbuatannya yang jahat. Baginda tetap memilih imam daripada keluarga bukan suku Lewi untuk bertugas di mazbah-mazbah yang dibinanya. Raja melantik sesiapa sahaja yang mahu menjadi imam. 34 Dosa raja ini membawa keruntuhan dan kemusnahan pemerintahan keturunannya.
+ 13:2 2 Raj 23.15-16 j 13:11 Beberapa buah terjemahan: Anak-anaknya. Naskhah Ibrani: Anaknya. k 13:12 Beberapa buah terjemahan kuno: menunjukkan...kepadanya. Naskhah Ibrani: nampak.