1 RAJA-RAJA
Kata Pengantar
Kitab 1 Raja-Raja adalah sambungan Kitab 1 dan 2 Samuel. Kitab ini mengisahkan sejarah pemerintahan raja-raja Israel. Sejarah yang terkandung di dalam kitab ini dapat dibahagi kepada tiga bahagian: (1) Pertabalan Raja Salomo sebagai raja Israel dan Yehuda, dan kemangkatan Raja Daud, ayahanda baginda. (2) Pemerintahan dan kejayaan Raja Salomo, terutama pembinaan Rumah TUHAN di Yerusalem. (3) Kerajaan Israel terbahagi menjadi kerajaan utara dan kerajaan selatan, serta sejarah raja-raja yang memerintah kedua-dua kerajaan itu sehingga pertengahan abad kesembilan Sebelum Masihi.
Di dalam kedua-dua kitab Raja-Raja, setiap raja dinilai berdasarkan ketaatannya kepada Allah. Kejayaan kerajaan pun dinilai dari segi ketaatan rajanya kepada Allah. Penyembahan berhala dan ketidaktaatan sentiasa mendatangkan bencana. Berdasarkan penilaian ini raja-raja yang memerintah di kerajaan utara semuanya gagal, sedangkan raja-raja yang memerintah di kerajaan selatan ada yang gagal dan ada juga yang berjaya.
Orang yang memainkan peranan utama di dalam kitab ini adalah para nabi Tuhan. Mereka ialah jurucakap Allah, dan mereka berani memperingatkan raja serta umat Allah supaya tidak menyembah berhala dan tidak memberontak terhadap Allah. Nabi yang menonjol ialah Elia dan kisah perlawanannya dengan imam-imam Dewa Baal (fasal 18).
Kandungan
Akhir Pemerintahan Raja Daud 1.1—2.12
Raja Salomo Menjadi Penguasa 2.13-46
Pemerintahan Raja Salomo 3.1—11.43
a. Tahun-Tahun Permulaan 3.1—4.34
b. Pembinaan Rumah TUHAN 5.1—8.66
c. Tahun-Tahun Akhir 9.1—11.43
Kerajaan yang Terbahagi 12.1—22.53
a. Pemberontakan Suku-Suku di Utara 12.1—14.20
b. Raja-Raja Kerajaan Yehuda dan Kerajaan Israel 14.21—16.34
c. Nabi Elia 17.1—19.21
d. Raja Ahab di Israel 20.1—22.40
e. Raja Yosafat di Yehuda dan Raja Ahazia di Israel 22.41-53
Raja Daud dan Masa Tuanya
1
Kini Raja Daud sudah sangat tua. Walaupun hamba-hamba raja menyelimutinya dengan selimut, baginda masih kesejukan. Oleh itu para pegawai raja berkata kepadanya, “Benarkanlah hamba sekalian mencari seorang gadis untuk tinggal bersama dengan tuanku dan menjaga tuanku. Dia akan tidur bersama-sama tuanku dan memanaskan badan tuanku.” Kemudian para pegawai mencari seorang gadis yang cantik di seluruh negeri Israel. Mereka menemui seorang gadis yang bernama Abisag di Sunem, lalu membawa dia kepada raja. Gadis itu sangat cantik. Dia melayani raja dan menjaga baginda, tetapi raja tidak bersetubuh dengan gadis itu.
Adonia Menuntut Menjadi Raja
5-6 Selepas Absalom meninggal, Adonia, putera Raja Daud dan Hagit, menjadi putera yang tertua. Adonia seorang pemuda yang sangat kacak. Raja Daud, ayahandanya, tidak pernah memarahi Adonia walaupun dia berbuat salah. Adonia ingin sekali menjadi raja. Oleh itu dia melengkapi dirinya dengan kereta kuda, pasukan berkuda, dan lima puluh orang sebagai pengawal peribadinya. + Adonia berunding dengan Yoab (ibu Yoab bernama Zeruya) dan Imam Abyatar. Kedua-dua mereka bersetuju untuk menyokong Adonia. Tetapi Imam Zadok, Benaya anak Yoyada, Nabi Natan, Simei, Rei, dan pengawal peribadi Raja Daud tidak berpihak kepada Adonia.
Pada suatu hari Adonia mempersembahkan korban domba, lembu jantan, dan anak lembu yang gemuk. Semua korban itu dipersembahkan di Batu Ular, dekat mata air En-Rogel. Adonia menjemput putera-putera Raja Daud yang lain, dan para pegawai raja dari Yehuda ke jamuan itu, 10 tetapi dia tidak menjemput Salomo adik tirinya, Nabi Natan, Benaya, dan pengawal peribadi raja.
Salomo Ditabalkan Menjadi Raja
11 Kemudian Nabi Natan pergi berjumpa dengan Batsyeba, ibu Salomo, dan bertanya kepadanya, “Belumkah permaisuri mendengar bahawa Adonia anak Hagit, telah mengangkat dirinya sendiri sebagai raja? Tetapi Raja Daud tidak tahu tentang hal itu! + 12 Jika permaisuri hendak menyelamatkan nyawa permaisuri sendiri dan nyawa Salomo, putera permaisuri, dengarlah nasihat hamba. 13 Pergilah dengan segera kepada Raja Daud, dan tanyalah kepada baginda, ‘Bukankah tuanku telah berjanji bahawa Salomo, putera hamba akan menggantikan tuanku sebagai raja? Mengapakah sekarang Adonia pula yang menjadi raja?’” 14 Nabi Natan berkata lagi, “Sedang permaisuri bercakap dengan Raja Daud nanti, hamba akan datang dan mengesahkan kata-kata permaisuri.”
15 Oleh itu Batsyeba menghadap raja di bilik tidurnya. Raja sudah sangat tua dan Abisag, gadis dari Sunem itu sedang menjaga baginda. 16 Batsyeba bersujud di hadapan raja, lalu raja bertanya kepadanya, “Apakah hajatmu?”
17 Batsyeba menjawab, “Tuanku telah berjanji demi TUHAN, Allah tuanku, bahawa Salomo, putera hamba akan menggantikan tuanku sebagai raja. 18 Tetapi sekarang Adonia sudah menjadi raja, dan tuanku tidak tahu tentang hal itu. 19 Dia telah mempersembahkan banyak lembu jantan, domba, dan anak lembu yang gemuk sebagai korban, serta menjemput putera-putera tuanku, Imam Abyatar, dan Yoab, panglima tentera tuanku, ke jamuan itu, tetapi Adonia tidak menjemput Salomo, putera tuanku. 20 Sekarang segenap rakyat sedang menanti-nantikan titah tuanku tentang siapa yang akan menggantikan tuanku sebagai raja. 21 Jika tuanku tidak memberikan keputusan itu, tentu segera sesudah tuanku mangkat, Salomo, putera hamba dan hamba akan dituduh sebagai pengkhianat.”
22 Sedang Batsyeba bercakap, Nabi Natan tiba di istana. 23 Raja Daud diberitahu tentang kedatangan Nabi Natan, lalu Nabi Natan masuk dan bersujud di hadapan raja. 24 Nabi Natan berkata kepada raja, “Adakah tuanku telah bertitah bahawa Adonia akan menggantikan tuanku sebagai raja? 25 Pada hari ini Adonia telah mempersembahkan banyak lembu jantan, domba dan anak lembu yang digemukkan sebagai korban. Dia menjemput semua putera tuanku, Yoab panglima tentera tuanku,a dan Imam Abyatar. Pada masa ini mereka sedang berpesta bersama-sama Adonia sambil bersorak, ‘Daulat Tuanku Raja Adonia!’ 26 Tetapi Adonia tidak menjemput hamba, Imam Zadok, Benaya anak Yoyada, dan Salomo. 27 Adakah tuanku yang memperkenankan Adonia melakukan semua itu tanpa memberitahu para pegawai tuanku siapa yang akan menggantikan tuanku sebagai raja?”
28 Raja Daud bertitah, “Suruhlah Batsyeba masuk dan menghadap semula.” Batsyeba masuk dan berdiri di hadapan raja. 29 Raja bertitah kepadanya, “Beta berjanji demi TUHAN yang hidup, yang telah menyelamatkan beta daripada segala kesusahan, 30 bahawa pada hari ini beta akan menepati janji beta kepadamu demi nama TUHAN, Allah Israel, bahawa puteramu Salomo akan menggantikan beta sebagai raja.”
31 Batsyeba bersujud dan berkata, “Daulat, tuanku!”
32 Kemudian Raja Daud memanggil Zadok, Natan, dan Benaya. Apabila mereka menghadap, 33 Raja Daud bertitah kepada mereka, “Bawalah Salomo, putera beta, ke mata air di Gihon. Biarlah dia menunggangi baghal beta dan bawalah bersama-sama kamu para pegawai istana. 34 Di sana hendaklah Zadok dan Natan melantik Salomo menjadi raja Israel. Selepas itu tiuplah trompet dan bersoraklah, ‘Daulat Tuanku Raja Salomo!’ 35 Iringilah dia kembali ke sini supaya dia menduduki takhta beta. Dia akan menggantikan beta sebagai raja kerana dialah yang telah beta pilih untuk menjadi penguasa di Israel dan Yehuda.”
36 “Baik, tuanku,” jawab Benaya. “Semoga perkara ini disahkan TUHAN, Allah tuanku. 37 Sebagaimana TUHAN telah menyertai tuanku, semoga Dia juga menyertai Salomo dan menjadikan kerajaannya lebih makmur daripada kerajaan tuanku.”
38 Kemudian Zadok, Natan, Benaya dan pengawal peribadi raja mempersilakan Salomo naik ke atas baghal Raja Daud, lalu mengiringinya ke mata air di Gihon. 39 Zadok mengambil bekas minyak zaitun yang dibawanya dari Khemah TUHAN, lalu melumuri Salomo dengan minyak itu untuk melantik dia. Mereka meniup trompet lalu semua orang bersorak, “Daulat Tuanku Raja Salomo!” 40 Selepas itu mereka mengiringi Raja Salomo balik ke istana sambil bersorak-sorak dan meniupkan seruling. Suara mereka begitu kuat sehingga bumi seakan-akan terbelah kerana keriuhan itu.
41 Adonia dan para jemputannya baru selesai berpesta ketika mereka mendengar keriuhan itu. Apabila Yoab mendengar bunyi trompet, dia bertanya, “Apakah yang menyebabkan keriuhan di dalam kota itu?” 42 Sedang dia berkata-kata, Yonatan anak Imam Abyatar tiba. Adonia berkata kepadanya, “Kamu orang baik, tentu kamu membawa berita baik. Silalah masuk.”
43 “Saya tidak membawa berita baik,” jawab Yonatan. “Tuanku Raja Daud telah melantik Salomo menjadi raja. 44 Baginda menyuruh Zadok, Natan, Benaya, dan pengawal peribadi raja untuk mengiringi Salomo. Mereka telah menaikkan Salomo ke atas baghal raja. 45 Zadok dan Natan melantik Salomo menjadi raja dengan melumuri kepalanya dengan minyak, di mata air Gihon. Selepas itu mereka masuk ke dalam kota sambil bersorak-sorak. Itulah keriuhan yang kamu dengar tadi. 46 Sekarang Salomo yang menjadi raja. 47 Lagi pun para pegawai istana masuk menghadap Raja Daud untuk mengucapkan tahniah kepada baginda. Mereka berkata, ‘Semoga Allah tuanku menjadikan Raja Salomo lebih termasyhur daripada tuanku, dan semoga kerajaan baginda lebih makmur daripada kerajaan tuanku.’ Kemudian Raja Daud bersujud di tempat tidurnya untuk menyembah TUHAN, 48 sambil berdoa, ‘Terpujilah Engkau, ya TUHAN, Allah Israel. Pada hari ini Engkau telah melantik salah seorang keturunanku menjadi raja untuk menggantikan aku. Engkau telah membenarkan aku menyaksikannya!’”
49 Kemudian para jemputan Adonia berasa takut. Mereka berdiri dan meninggalkan tempat itu, masing-masing pergi mengikut jalannya sendiri. 50 Adonia sangat takut kepada Raja Salomo sehingga dia pergi ke Khemah TUHAN, lalu memegang unjuran-unjuran mazbah.b 51 Raja Salomo diberitahu bahawa Adonia takut kepada baginda dan dia sedang memegang unjuran-unjuran mazbah. Adonia berkata, “Hamba tidak akan pergi dari sini sebelum Raja Salomo bersumpah bahawa baginda tidak akan membunuh hamba.”
52 Raja Salomo menjawab, “Jika Adonia setia, dia tidak akan dihukum sedikit pun. Tetapi jika dia tidak setia, dia akan dibunuh.” 53 Kemudian Raja Salomo menyuruh orang menurunkan Adonia dari mazbah itu. Adonia datang menghadap raja dan bersujud di hadapan baginda. Raja bertitah kepadanya, “Baiklah, kamu boleh pulang.”
+ 1:5-6 2 Sam 3.4 + 1:11 2 Sam 12.24 a 1:25 Yoab panglima tentera tuanku; atau para panglima tentera tuanku. b 1:50 unjuran-unjuran mazbah: Unjuran-unjuran kecil di keempat-empat sudut bahagian atas mazbah. Unjuran-unjuran itu kelihatannya seperti tanduk. Sesiapa yang berpegang pada unjuran tersebut tidak akan dibunuh.*