Kota Yerikho Jatuh
6
Pintu-pintu gerbang kota Yerikho dikawal dan ditutup supaya umat Israel tidak dapat masuk. Tiada seorang pun dapat masuk ataupun keluar dari kota itu. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Aku menyerahkan Yerikho dengan rajanya dan semua askarnya yang perkasa kepadamu. Engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sekali sehari selama enam hari. Tujuh orang imam yang masing-masing membawa sebuah trompet harus berjalan di hadapan Tabut Perjanjian. Pada hari ketujuh, engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali, sementara imam-imam meniup trompet. Selepas itu mereka harus meniup trompet dengan bunyi yang panjang, dan sebaik sahaja kamu mendengarnya, semua orang harus berteriak dengan kuat, lalu tembok kota itu akan roboh. Pada saat itu seluruh tenteramu harus terus memasuki kota itu.”
Yosua memanggil imam-imam dan berkata kepada mereka, “Gotonglah Tabut Perjanjian, dan tujuh orang antara kamu harus berjalan di hadapannya dengan membawa trompet.” Kemudian Yosua memberikan arahan kepada askar-askarnya supaya berarak mengelilingi kota itu, didahului oleh barisan pengawal depan yang berjalan di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN.
8-9 Sebagaimana yang diperintahkan Yosua, pengawal depan berjalan di hadapan imam-imam yang meniup trompet, diikuti oleh para imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN; kemudian diakhiri oleh barisan pengawal belakang. Sepanjang masa itu trompet dibunyikan. 10 Tetapi Yosua telah memerintahkan askar-askarnya supaya tidak berteriak atau berkata sepatah pun sehingga dia memberitahu mereka. 11 Demikianlah Yosua menyuruh kumpulan orang itu mengelilingi kota itu satu kali dengan menggotong Tabut Perjanjian TUHAN, lalu mereka kembali ke perkhemahan dan bermalam di situ.
12-13 Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi, dan untuk kali kedua para imam dan askar mengelilingi kota itu mengikut susunan pada hari sebelumnya: mula-mula, pengawal depan; kemudian tujuh orang imam yang meniup trompet; lalu para imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN; dan akhir sekali pengawal belakang. Sepanjang masa itu trompet dibunyikan. 14 Pada hari kedua itu, mereka berarak mengelilingi kota itu satu kali lagi, lalu kembali ke perkhemahan. Mereka berbuat demikian selama enam hari.
15 Pada hari ketujuh, mereka bangun ketika fajar. Mereka berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali dengan cara yang sama. Hanya pada hari itu, mereka berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali. 16 Pada kali ketujuh, apabila imam-imam itu hendak meniup trompet, Yosua memerintahkan orangnya berteriak, dan dia berkata, “TUHAN sudah menyerahkan kota ini kepada kamu! 17 Kota itu dengan segala sesuatu di situ harus dimusnahkan sama sekali sebagai persembahan kepada TUHAN. Hanya Rahab, pelacur perempuan itu dan kaum keluarganya yang akan diselamatkan, kerana dia telah menyembunyikan pengintip-pengintip kita. 18 Kamu tidak boleh mengambil apa pun yang mesti dimusnahkan. Jika kamu mengambilnya juga, kamu akan mendatangkan kesusahan dan kebinasaan kepada perkhemahan Israel. 19 Segala benda yang dibuat daripada perak, emas, gangsa, atau besi harus diasingkan untuk TUHAN. Barang-barang itu harus dibawa ke perbendaharaan TUHAN.”
20 Lalu imam-imam meniup trompet. Sebaik sahaja askar-askar mendengarnya, mereka berteriak dengan kuat, dan tembok kota Yerikho pun roboh. Kemudian seluruh angkatan tentera terus naik ke kota itu, lalu menyerang dan merebutnya. + 21 Dengan pedang, mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua. Mereka juga membunuh lembu, domba, dan keldai.
22 Yosua berkata kepada dua orang yang dahulu bertugas sebagai pengintip, “Pergilah ke rumah pelacur perempuan itu, lalu bawalah dia dan keluarganya keluar seperti yang kamu janjikan kepadanya.” 23 Oleh itu mereka pergi membawa Rahab keluar bersama-sama ibu bapa, saudara-saudara, dan semua anggota keluarganya. Mereka menyelamatkan semua orang itu, kaum keluarga Rahab mahupun hamba-hambanya, lalu membawa mereka ke tempat yang selamat, berhampiran dengan perkhemahan Israel. 24 Kemudian mereka membakar kota itu dan semua yang ada di situ sampai musnah, kecuali barang-barang yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, dan besi. Mereka mengambil semua benda itu lalu membawanya ke perbendaharaan TUHAN. 25 Tetapi Yosua menyelamatkan Rahab, pelacur perempuan itu dan semua kaum keluarganya kerana dia telah menyembunyikan dua orang pengintip yang disuruh Yosua ke kota Yerikho. (Keturunan Rahab tinggal di negeri Israel sampai hari ini.) +
26 Pada masa itu Yosua mengumumkan amaran ini, “Sesiapa yang cuba membina kota Yerikho semula akan dikutuk oleh TUHAN.
Sesiapa yang meletakkan batu asasnya akan kehilangan anak sulung.
Sesiapa yang membina pintu gerbangnya akan kehilangan anak bongsu.” +
27 TUHAN menyertai Yosua dan dia menjadi masyhur di seluruh negeri itu.
+ 6:20 Ibr 11.30 + 6:25 Ibr 11.31 + 6:26 1 Raj 16.34