Musa dan Harun Menghadap Raja
5
Kemudian Musa dan Harun pergi menghadap raja Mesir dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, Allah umat Israel, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi agar mereka dapat beribadat kepada-Ku di padang gurun.’”
“Siapakah TUHAN itu?” tanya raja. “Mengapakah beta harus mendengarkan dia dan membenarkan orang Israel pergi? Beta tidak kenal akan TUHAN itu, dan beta tidak akan membenarkan orang Israel pergi.”
Musa dan Harun berkata, “Allah orang Ibrani telah menampakkan diri kepada hamba berdua. Benarkanlah hamba sekalian pergi ke padang gurun sejauh tiga hari perjalanan untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah hamba semua. Jika hamba sekalian tidak melakukan hal ini, Dia akan membunuh hamba semua dengan penyakit atau peperangan.”
Raja bertitah kepada Musa dan Harun, “Mengapa kamu menyebabkan semua orang itu melalaikan pekerjaan mereka? Suruhlah abdi-abdi itu bekerja! Bangsa kamu sudah lebih banyak daripada orang Mesir. Sekarang kamu mahu mereka berhenti bekerja!”
Pada hari itu juga raja Mesir memberikan perintah kepada pengerah-pengerah abdi berbangsa Mesir dan mandur-mandur berbangsa Israel. Raja bertitah, “Jangan berikan jerami kepada bangsa itu untuk membuat batu bata. Biarlah mereka pergi mencarinya sendiri. Tetapi suruhlah mereka membuat batu bata sebanyak dahulu; jangan kurangkan bilangannya walau seketul pun. Mereka tidak mempunyai cukup pekerjaan, itulah sebabnya mereka minta dibenarkan pergi untuk mempersembahkan korban kepada Allah mereka. Paksalah umat itu bekerja lebih keras lagi, supaya mereka sibuk dengan pekerjaan dan tidak mempunyai masa untuk mendengar cerita-cerita bohong.”
10 Pengerah-pengerah abdi berbangsa Mesir dan mandur-mandur berbangsa Israel keluar lalu berkata kepada orang Israel, “Raja memberikan perintah bahawa kamu tidak diberikan jerami lagi. 11 Kamu sendiri mesti pergi mencari jerami di mana sahaja kamu boleh mendapatinya. Tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.” 12 Oleh itu orang Israel menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk mencari jerami. 13 Para pengerah abdi terus mendesak agar setiap hari orang Israel membuat batu bata sebanyak yang dibuat pada masa mereka diberikan jerami dahulu. 14 Pengerah-pengerah abdi memukul mandur-mandur berbangsa Israel yang telah ditugaskan untuk mengawasi pekerjaan itu. Mereka bertanya, “Mengapa kamu tidak membuat batu bata sebanyak dahulu?”
15 Kemudian mandur-mandur itu pergi menghadap raja dan mengadu, “Mengapakah tuanku melakukan hal ini kepada hamba sekalian? 16 Hamba semua tidak diberikan jerami, namun hamba sekalian dipaksa membuat batu bata. Sekarang, hamba semua dipukul pula, padahal pegawai-pegawai tuanku itulah yang bersalah.”
17 Raja menjawab, “Kamu memang malas dan tidak mahu bekerja. Itulah sebabnya kamu minta dibenarkan pergi untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN. 18 Sekarang pergilah bekerja lagi. Jerami tidak akan diberikan kepada kamu, tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.” 19 Mandur-mandur itu sedar bahawa mereka dalam kesusahan apabila diberitahu bahawa setiap hari mereka mesti tetap membuat batu bata sebanyak dahulu.
20 Apabila mandur-mandur keluar dari istana, mereka bertemu dengan Musa dan Harun, yang sedang menunggu mereka. 21 Mandur-mandur itu berkata kepada Musa dan Harun, “TUHAN melihat apa yang telah kamu lakukan. Dia akan menghukum kamu! Kamulah yang menyebabkan raja dan pegawai-pegawainya membenci kami. Kamu telah memberi mereka alasan untuk membunuh kami.”
Musa Bersungut kepada TUHAN
22 Kemudian Musa menghadap TUHAN lagi dan berkata, “Ya Tuhan, mengapa Engkau menganiaya umat-Mu? Mengapa Engkau menghantar aku ke sini? 23 Sejak aku menghadap raja dan berkata-kata atas nama-Mu, raja telah menganiaya umat-Mu. Engkau pula tidak melakukan sesuatu pun untuk menolong mereka!”
24 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa. “Sekarang engkau akan melihat apa yang akan Aku lakukan kepada raja Mesir. Aku akan memaksa dia membenarkan umat-Ku pergi. Sesungguhnya, Aku akan memaksa dia mengusir mereka keluar dari negerinya.”