Memasang dan Mentahbiskan Khemah TUHAN
40
TUHAN berfirman kepada Musa, “Pada hari pertama bulan pertama, pasanglah Khemah-Ku. Letakkan Tabut Perjanjian yang mengandungi Sepuluh Hukum di dalam Khemah itu dan pasanglah tirai di depan Tabut. Bawalah meja ke dalam dan letakkan peralatan di atas meja itu. Bawalah juga kaki pelita dan letakkan pelita di atasnya. Letakkan mazbah emas tempat membakar kemenyan di hadapan Tabut Perjanjian, dan gantungkan tirai di pintu masuk Khemah. Letakkan mazbah tempat membakar korban di depan Khemah. Letakkan besen di antara Khemah dan mazbah, lalu isikan besen itu dengan air. Pasanglah pagar di sekeliling Khemah dan gantungkan tirai di pintu pagar.
Kemudian tahbiskanlah Khemah itu dan segala peralatannya dengan menyapukannya dengan minyak upacara, maka Khemah itu akan menjadi suci. 10 Selepas itu tahbiskanlah mazbah serta segala peralatannya dengan menyapukannya dengan minyak upacara, maka semuanya akan menjadi benar-benar suci. 11 Tahbiskanlah juga besen air dan alasnya dengan cara yang sama.
12 Kemudian bawalah Harun dan anak-anaknya ke pintu Khemah TUHAN, dan lakukan upacara pembasuhan diri bagi mereka. 13 Kenakanlah pakaian imam pada Harun dan sapulah dia dengan minyak. Dengan cara itu, tahbiskanlah dia agar dia mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. 14 Suruhlah anak-anak Harun maju mendekat, lalu kenakanlah baju labuh pada mereka. 15 Kemudian sapulah mereka dengan minyak, sebagaimana engkau menyapukan bapa mereka dengan minyak, agar mereka mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Upacara menyapukan minyak itu akan menjadikan suku mereka imam sehingga turun-temurun.”
16 Musa melakukan segala-galanya sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN kepadanya. 17 Oleh itu pada hari pertama bulan pertama, tahun kedua selepas mereka meninggalkan Mesir, Khemah TUHAN dipasang. 18 Musa meletakkan alas-alasnya, mendirikan rangka-rangkanya, menyambung kayu-kayu lintangnya, dan menegakkan tiang-tiangnya. 19 Dia membentangkan penutup Khemah TUHAN, lalu menutupinya dengan penutup lain, sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN. 20 Kemudian Musa mengambil dua buah batu tulis itu dan meletakkannya di dalam Tabut Perjanjian. Dia memasukkan kayu pengusung Tabut ke dalam gelang-gelangnya, lalu menutup Tabut dengan penutupnya. 21 Lalu dia meletakkan Tabut itu di dalam Khemah TUHAN dan menggantungkan tirai pelindung di depan Tabut Perjanjian, sesuai dengan perintah TUHAN kepadanya.
22 Dia meletakkan meja di dalam Khemah TUHAN, di bahagian utara, sebelah luar tirai itu, 23 dan meletakkan roti yang dipersembahkan kepada TUHAN di atas meja itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. 24 Musa meletakkan kaki pelita di dalam Khemah TUHAN, di bahagian selatan, berhadapan dengan meja itu. 25 Di situ, di hadirat TUHAN, dia menyalakan pelita itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. 26 Dia meletakkan mazbah emas di dalam Khemah TUHAN, di hadapan tirai, 27 lalu membakar kemenyan yang harum, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. 28 Dia menggantungkan tirai di pintu masuk Khemah TUHAN, 29 dan di situ, di depan tirai itu, dia meletakkan mazbah tempat membakar korban. Di atas mazbah itu dia mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN,A dan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN,C seperti yang diperintahkan TUHAN. 30 Dia meletakkan besen di antara Khemah dan mazbah, lalu mengisinya dengan air. 31 Musa, Harun dan anak-anaknya membasuh tangan dan kaki di situ, 32 bila-bila sahaja mereka masuk ke dalam Khemah TUHAN atau mendekati mazbah, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. 33 Musa memasang pagar di sekeliling Khemah TUHAN dan mazbah itu, serta menggantungkan tirai di pintu pagar. Demikianlah Musa menyelesaikan segala pekerjaan itu.
Awan Meliputi Khemah TUHAN
(Bil 9.15-23)
34 Kemudian turunlah awan meliputi Khemah TUHAN, dan Khemah itu penuh dengan cahaya hadirat TUHAN. + 35 Oleh sebab itu, Musa tidak dapat masuk ke dalam Khemah TUHAN. 36 Orang Israel memindahkan perkhemahan mereka ke tempat lain hanya apabila awan itu naik dari atas Khemah TUHAN. 37 Selama awan itu tidak naik, mereka tidak memindahkan perkhemahan mereka. 38 Selama pengembaraan orang Israel, mereka dapat melihat awan TUHAN di atas Khemah itu pada siang hari, dan api menyala-nyala di dalam awan itu pada malam hari.
A 40:29 Korban untuk menyenangkan hati TUHAN; Lihat 10.25. C 40:29 Korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN; Harfiah: Korban bijirin. Lihat Kamus. + 40:34 1 Raj 8.10-11; Yes 6.4; Yeh 43.4-5; Why 15.8