Surat Perintah Raja Kores Dijumpai dalam Arkib Kerajaan
6
Selepas itu Raja Darius memberikan perintah supaya orang memeriksa arkib kerajaan yang disimpan di kota Babel. Tetapi catatan tentang hal itu ditemui di kota Ahmeta, di daerah Media, dan bukannya di Babel. Catatan itu ditulis pada sebuah gulungan naskhah yang berbunyi begini,
“Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, baginda memberikan perintah supaya Rumah TUHAN di Yerusalem dibina semula, sebagai tempat orang membawa persembahan dan membakar korban. Tinggi Rumah itu harus 27 meter dan lebarnya 27 meter. Tembok Rumah itu hendaklah dibuat seperti berikut: di atas tiap-tiap tiga lapis batu mestilah dipasang satu lapis kayu. Segala perbelanjaannya hendaklah ditanggung oleh perbendaharaan kerajaan. Perkakas emas dan perak yang digunakan di dalam Rumah TUHAN, yang telah diambil oleh Raja Nebukadnezar dari Yerusalem dan dibawa ke Babel, harus dikembalikan ke tempatnya semula.”
Raja Darius Memberikan Perintah supaya Pembinaan Diteruskan
Kemudian Raja Darius menjawab demikian,
“Kepada Gabenor Tatnai dari Efrat Barat, Syetar Boznai dan rakan-rakan kamu di Efrat Barat. Salam.
Jangan ganggu orang Yahudi, dan jangan halang pembinaan itu. Biarlah gabenor Yehuda dan para pemimpin orang Yahudi membina semula Rumah itu. Bahkan beta memerintah agar kamu semua menolong mereka membinanya. Perbelanjaan membina Rumah TUHAN itu harus dibayar dengan segera dari perbendaharaan kerajaan, daripada hasil cukai wilayah Efrat Barat. Janganlah biarkan pembinaan itu tergendala! Tiap-tiap hari, para imam yang berada di Yerusalem harus diberikan apa sahaja yang diperlukan mereka: sama ada lembu jantan muda, domba jantan, atau anak domba sebagai korban untuk dipersembahkan kepada Allah penguasa di syurga, ataupun gandum, garam, wain, dan minyak zaitun. 10 Kesemua ini hendaklah dilaksanakan supaya mereka dapat mempersembahkan korban yang diperkenankan Allah penguasa di syurga, dan supaya mereka berdoa kepada-Nya untuk memohon berkat bagi beta dan putera-putera beta. 11 Beta memerintahkan juga bahawa sesiapa melanggar perintah beta ini, tulang bumbung rumahnya akan dibongkar, diruncingkan, lalu ditusukkan ke dalam badannya sampai tembus. Rumah orang itu akan dijadikan tempat timbunan sampah. 12 Semoga Allah yang telah memilih Yerusalem sebagai tempat Dia disembah, membinasakan raja atau bangsa apa sahaja yang melanggar perintah ini serta cuba memusnahkan Rumah TUHAN. Beta, Raja Darius, telah mengeluarkan perintah ini. Jalankanlah perintah ini dengan sebaik-baiknya.”
Rumah TUHAN Ditahbiskan
13 Selepas itu, Gabenor Tatnai dari Efrat Barat, Syetar-Boznai dan rakan-rakan mereka melakukan tepat seperti yang diperintahkan Raja Darius. 14 Para pemimpin orang Yahudi meneruskan pembinaan Rumah itu dengan pesat. Mereka digalakkan oleh Nabi Hagai dan Zakharia. Mereka menyelesaikan pembinaan Rumah itu menurut perintah Allah Israel dan perintah Raja Kores, Raja Darius, dan Raja Artahsasta, raja-raja Persia. + 15 Mereka menyelesaikan pembinaan itu pada hari ketiga bulan Adar, pada tahun keenam pemerintahan Raja Darius. 16 Kemudian umat Israel, para imam, orang Lewi dan semua orang yang telah pulang dari pembuangan, mentahbiskan Rumah TUHAN itu dengan sukacita. 17 Untuk pentahbisan itu mereka mempersembahkan 100 ekor lembu jantan, 200 ekor domba jantan, dan 400 ekor anak domba kepada TUHAN. Untuk korban pengampunan dosa, mereka mempersembahkan dua belas ekor kambing jantan, seekor bagi setiap suku Israel. 18 Mereka juga menyusun pekerjaan para imam dan orang Lewi di Rumah TUHAN di Yerusalem, menurut peraturan yang tertulis dalam kitab Musa.
Perayaan Paska
19 Mereka yang telah pulang dari pembuangan itu merayakan Paska pada hari keempat belas bulan pertama tahun yang berikutnya. + 20 Semua imam dan orang Lewi telah melakukan upacara pembersihan diri sehingga dianggap suci. Orang Lewi menyembelih binatang untuk korban Paska bagi para imam, dan bagi semua orang yang telah pulang dari pembuangan serta bagi mereka sendiri. 21 Korban itu dimakan oleh semua orang Israel yang telah pulang dari pembuangan, dan penduduk negeri itu yang telah meninggalkan cara hidup yang berdosa, lalu datang untuk menyembah TUHAN, Allah Israel. 22 Selama tujuh hari, dengan gembira mereka merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi. Mereka bersukacita kerana TUHAN telah menyebabkan raja negeri Asyurk bermurah hati terhadap mereka, sehingga baginda menolong mereka membina semula Rumah TUHAN, Allah Israel.
+ 6:14 Hag 1.1; Za 1.1 + 6:19 Kel 12.1-20 k 6:22 raja negeri Asyur: Mungkin yang dimaksudkan adalah raja Persia yang pada masa itu juga memerintah negeri Asyur.