Pedang TUHAN
21
TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, kutuklah Yerusalem! Kutuklah tempat-tempat ibadat penduduknya! Berikanlah amaran kepada setiap orang di Israel, bahawa Aku, TUHAN berfirman: Aku musuh kamu. Aku akan menghunus pedang-Ku dan membunuh kamu semua, yang jahat mahupun yang baik. Aku akan menggunakan pedang-Ku untuk melawan semua orang dari utara sampai ke selatan. Semua orang akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah menghunus pedang dan Aku tidak akan menyarungkannya.
Hai manusia fana, mengeluhlah di depan orang seolah-olah engkau patah hati dan terlalu sedih. Apabila mereka bertanya mengapa engkau mengeluh, katakanlah bahawa engkau sedih kerana berita yang akan datang. Berita itu akan membuat hati mereka takut, tangan mereka lemah, semangat mereka hilang, dan lutut mereka gementar. Masanya sudah tiba, dan semua itu akan terjadi!” TUHAN Raja telah berfirman.
TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, bernubuatlah. Beritahulah umat bahawa Aku, Tuhan berfirman,
‘Ada sebilah pedang,
pedang yang diasah dan digosok.
10 Pedang itu diasah untuk membunuh,
digosok supaya berkilau-kilauan.
Bagi umat-Ku tidak ada lagi kegembiraan,
kerana mereka telah mengabaikan setiap amaran dan hukuman.
11 Pedang itu dikilatkan
supaya siap digunakan,
diasah dan dikilatkan,
untuk diserahkan kepada seorang pembunuh.
12 Hai manusia fana, merataplah dan berseru,
kerana pedang itu digunakan untuk melawan umat-Ku.
Semua pemimpin Israel akan dibunuh
bersama-sama semua umat-Ku.
Tebahlah dada kerana putus asa.
13 Aku sedang menguji umat-Ku,
dan jika mereka tidak mahu bertaubat,
segala perkara ini akan menimpa mereka.’
14 Sekarang, hai manusia fana, bernubuatlah. Tepuklah tanganmu, lalu pedang akan membantai berulang-ulang. Pedang itu pedang yang membunuh, menakutkan, dan membantai orang. 15 Umat-Ku akan hilang semangat dan jatuh tersandung. Aku sedang mengancam kota mereka dengan pedang yang berkilau seperti kilat, dan yang telah siap untuk melakukan pembunuhan. 16 Hai pedang tajam, tikamlah ke kanan dan ke kiri dan ke mana-mana engkau ingin. 17 Aku juga akan bertepuk tangan, dan kemurkaan-Ku akan reda. Aku, TUHAN telah berfirman.”
Pedang Raja Babilonia
18 TUHAN berfirman kepadaku, 19 “Hai manusia fana, lukiskan dua batang jalan yang akan dilalui raja Babilonia yang membawa pedangnya. Kedua-dua jalan itu akan bermula dari negeri yang sama. Pasanglah papan tanda di tempat jalan itu mula bercabang. 20 Papan tanda yang satu akan memberikan petunjuk kepada raja Babilonia jalan ke kota orang Amon di Raba, dan yang satu lagi jalan ke Yerusalem, kota yang berkubu di Yehuda. 21 Raja Babilonia berdiri di sisi papan tanda itu, di simpang jalan. Untuk menentukan jalan mana yang akan dilaluinya, dia akan menggoncang anak panahnya, bertanya kepada berhala-berhalanya, dan memeriksa hati binatangc yang dipersembahkan sebagai korban. 22 Panah yang bertanda ‘Yerusalem’ dicabut tangan kanannya. Hal ini bererti bahawa raja harus menyusun kayu-kayu pelantak, meneriakkan pekik pertempuran, meletakkan kayu-kayu pelantak di pintu gerbang, membina tambak pengepungan, dan menggali parit-parit. 23 Penduduk Yerusalem tidak mahu percaya akan perkara itu, kerana mereka telah membuat perjanjian dengan Babilonia. Tetapi ramalan ini justeru memperingatkan mereka bahawa mereka telah berdosa dan akan ditangkap. 24 Aku, TUHAN Raja berfirman kepada mereka, ‘Dosa kamu telah diketahui orang. Semua orang tahu betapa besarnya dosa kamu. Dosa kamu kelihatan dalam setiap tindakan kamu. Sekarang sudah tiba masanya kamu dihukum dan kamu akan diserahkan kepada musuh.
25 Hai kamu pemimpin Israel, pemimpin yang jahat dan derhaka, hari penghukuman yang terakhir bagi kamu sudah dekat. 26 Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Tanggalkanlah mahkota dan serban kamu. Sekarang segala-galanya berubah. Angkatlah kedudukan orang miskin. Turunkan kedudukan orang berkuasa. 27 Runtuhan! Runtuhan! Sesungguhnya Aku akan meruntuhkan kota ini! Tetapi hal ini tidak akan berlaku sebelum orang yang Kupilih untuk menghukum kota ini datang. Pada masa itu Aku akan menyerahkan kota ini kepadanya.’”
Pedang dan Orang Amon
28 “Hai manusia fana, bernubuatlah. Beritahulah orang Amon yang telah menghina Israel bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman,
‘Pedang telah dihunus untuk memusnahkan;
diasah untuk melakukan pembunuhan dan berkilau seperti kilat.
29 Penglihatan yang kamu lihat itu palsu. Ramalan kamu pun dusta semata-mata. Kamu derhaka dan jahat. Hari hukuman terakhir bagi kamu sudah dekat. Pedang akan memenggal leher kamu.
30 Sarungkanlah pedang! Aku akan menghukum kamu di tempat kamu dilahirkan. 31 Kamu akan merasai kemurkaan-Ku seperti api yang menyala-nyala apabila Aku melampiaskannya kepada kamu. Aku akan menyerahkan kamu kepada orang kejam, yang terlatih untuk membinasakan orang. 32 Kamu akan musnah dimakan api. Darah kamu akan tertumpah di negeri kamu sendiri. Tiada sesiapa pun akan mengingati kamu lagi.’” TUHAN telah berfirman. +
c 21:21 menggoncang anak panah dan memeriksa hati binatang: Jika harus mengambil keputusan, orang dahulu kadang-kadang menggoncang tabung anak panahnya lalu tanpa melihat mengambil salah satu panah. Cara lain ialah dengan mempelajari tanda-tanda pada hati binatang yang dipersembahkan sebagai korban. + 21:32 Yer 49.1-6; Yeh 25.1-7; Am 1.3-15; Zef 2.8-11