Musa Meninggal
34
Kemudian Musa meninggalkan dataran Moab lalu mendaki Gunung Nebo, ke puncak Gunung Pisga di sebelah timur kota Yerikho. Di sana TUHAN menunjukkan seluruh tanah itu kepadanya: wilayah Gilead sampai kota Dan di utara; seluruh wilayah Naftali; wilayah Efraim dan Manasye; wilayah Yehuda di sebelah barat sampai ke Laut Tengah; bahagian selatan Yehuda; dan dataran dari Zoar sampai ke Yerikho, kota pokok kurma. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Itulah tanah yang Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub, untuk diberikan kepada keturunan mereka. Aku membenarkan engkau memandangnya tetapi Aku tidak membenarkan engkau pergi ke sana.” +
Kemudian Musa, hamba TUHAN itu, meninggal di tanah Moab, sebagaimana yang sudah difirmankan TUHAN. TUHAN mengebumikan dia di suatu lembah di Moab, yang bertentangan dengan kota Bet-Peor. Tetapi sampai hari ini tidak seorang pun tahu tempat kubur itu. Musa berumur seratus dua puluh tahun ketika dia meninggal. Waktu dia meninggal, badannya masih kuat dan penglihatannya masih terang. Umat Israel berkabung bagi Musa selama tiga puluh hari di dataran Moab.
TUHAN mengurniakan kebijaksanaan kepada Yosua anak Nun kerana Musa telah melantik dia menjadi penggantinya. Umat Israel taat kepada Yosua serta melakukan perintah yang diberikan TUHAN kepada mereka dengan perantaraan Musa.
10 Sejak itu, tidak ada nabi seperti Musa di Israel; TUHAN berfirman berhadapan muka dengan Musa. + 11 Tidak ada lagi nabi yang pernah melakukan mukjizat dan keajaiban seperti yang dilakukan Musa; TUHAN menyuruh Musa melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menentang raja Mesir, pegawai-pegawai raja dan seluruh negeri itu. 12 Tidak ada nabi lain yang melakukan perbuatan-perbuatan hebat dan dahsyat seperti yang dilakukan Musa di hadapan segenap umat Israel.
+ 34:4 Kej 12.7, 26.3, 28.13 + 34:10 Kel 33.11