Berkat TUHAN bagi Umat-Nya yang Bertaubat
30
“Aku sudah memberi kamu pilihan antara berkat dan kutuk. Apabila segala perkara ini berlaku kepada kamu, dan kamu tinggal di kalangan bangsa-bangsa tempat kamu dicerai-beraikan TUHAN, Allah kamu, maka kamu akan teringat pada pilihan yang aku berikan kepada kamu. Jika kamu dan keturunan kamu bersedia kembali kepada TUHAN, Allah kamu, dan dengan sepenuh hati kamu mentaati semua perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka TUHAN, Allah kamu akan mengasihani kamu. Dia akan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat Dia mencerai-beraikan kamu, lalu menjadikan kamu makmur semula. Meskipun kamu sudah dicerai-beraikan ke seluruh dunia, TUHAN, Allah kamu akan mengumpulkan kamu dan membawa kamu kembali. Oleh itu kamu akan memiliki semula tanah yang diduduki nenek moyang kamu dahulu. Dia akan menjadikan kamu lebih makmur dan lebih besar bilangannya daripada nenek moyang kamu. TUHAN, Allah kamu akan memberi kamu dan keturunan kamu hati yang taat supaya kamu akan mengasihi Dia dengan sepenuh hati, dan dapat tinggal terus di tanah itu. Dia akan menjatuhkan segala kutuk itu kepada musuh yang membenci dan menindas kamu. Kamu akan kembali mentaati TUHAN dan menjalankan segala perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini. TUHAN akan menjayakan segala usaha kamu. Kamu akan mempunyai banyak anak dan ternakan; ladang kamu akan mengeluarkan hasil yang berlimpah. TUHAN akan berkenan menjadikan kamu makmur sebagaimana Dia menjadikan nenek moyang kamu makmur. 10 Tetapi kamu mesti taat kepada TUHAN, Allah kamu dan mematuhi segala hukum-Nya yang tertulis di dalam kitab ini, yang mengandungi ajaran-Nya. Kamu mesti kembali kepada-Nya dengan sepenuh hati.
11 Perintah yang aku berikan kepada kamu hari ini tidak terlalu susah ataupun di luar jangkauan. 12 Tempatnya bukan di langit, maka tidak usah kamu bertanya, ‘Siapakah yang akan naik ke sana dan membawanya turun supaya kami dapat mendengar dan mentaatinya?’ 13 Tempatnya bukan juga di seberang laut. Tidak usah kamu bertanya, ‘Siapakah yang akan menyeberangi laut dan membawanya kepada kami supaya kami dapat mendengar dan mentaatinya?’ 14 Jangan bertanya begitu kerana perintah itu ada dengan kamu. Kamu sudah mengetahuinya dan dapat menghafaznya; kamu hanya perlu melakukannya. +
15 Pada hari ini buatlah pilihan antara yang baik dan yang jahat, antara hidup dan maut. 16 Jika kamu mematuhi perintah TUHAN, Allah kamu yang aku berikan kepada kamu hari ini, dan jika kamu mengasihi serta mentaati Dia, dan melakukan semua hukum-Nya, maka kamu akan makmur dan menjadi bangsa yang besar. TUHAN, Allah kamu akan memberkati kamu di tanah yang tidak lama lagi akan kamu duduki. 17 Tetapi jika kamu tidak taat dan tidak mahu mendengar, dan membiarkan diri disesatkan untuk menyembah tuhan-tuhan lain, 18 tentu kamu akan dibinasakan. Umur kamu tidak akan panjang di tanah di seberang Sungai Yordan, yang tidak lama lagi akan kamu duduki. Ingatlah! Aku memberikan amaran kepada kamu hari ini di tempat ini. 19 Sekarang kamu boleh memilih antara hidup dan maut, antara berkat Allah dan kutuk-Nya. Aku memanggil langit dan bumi untuk menjadi saksi terhadap keputusan kamu. Pilihlah hidup. 20 Kasihilah TUHAN, Allah kamu, taatlah dan setialah kepada-Nya, maka kamu dan keturunan kamu akan panjang umur di tanah yang dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub.” +
+ 30:14 Rm 10.6-8 + 30:20 Kej 12.7, 26.3, 28.13