Israel Mengalahkan Raja Og
(Bil 21.31-35)
3
“Kemudian kita menuju ke utara, ke arah daerah Basan. Raja Og dari Basan datang dengan seluruh tenteranya untuk menyerang kita dekat kota Edrei. Tetapi TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan takut akan dia. Aku akan menyerahkan dia, tenteranya, dan seluruh wilayahnya kepadamu. Perlakukanlah dia sebagaimana engkau sudah memperlakukan Sihon, raja orang Amori, yang memerintah di Hesybon.’
Oleh itu TUHAN menyerahkan Raja Og dan rakyatnya kepada kita, dan kita membunuh mereka semua. Pada masa itu juga, kita menaklukkan semua kota Raja Og, sebanyak enam puluh buah kota, iaitu seluruh daerah Argob, yang diperintah oleh Raja Og dari Basan. Tiada satu kota pun yang tidak kita rebut. Semua kota itu diperkuat dengan tembok yang tinggi, pintu gerbang, dan palang untuk mengunci pintu gerbang. Selain itu, ada juga banyak pekan yang tidak mempunyai tembok. Kita memusnahkan semua kota itu dan membunuh semua orang lelaki, perempuan, dan kanak-kanak, seperti yang kita lakukan di kota-kota milik Raja Sihon dari Hesybon. Kita mengambil ternakan dan menjarah kota-kota mereka.
Pada masa itu, daerah di sebelah timur Sungai Yordan, dari Sungai Arnon sampai ke Gunung Hermon, telah kita rebut daripada dua orang raja Amori itu. ( Gunung Hermon disebut Siryon oleh orang dari kota Sidon, dan disebut Senir oleh orang Amori.) 10 Kita merebut seluruh wilayah Raja Og dari Basan: kota-kota di dataran tinggi, daerah Gilead dan Basan, sampai ke kota Salka dan Edrei di sebelah timur.”
( 11 Raja Og ialah orang terakhir daripada bangsa Refaim. Peti jenazahnyab dibuat daripada batu,c berukuran kira-kira dua meter lebar dan kira-kira empat meter panjang menurut ukuran rasmi. Sampai sekarang peti jenazah itu masih dapat dilihat di Raba, kota orang Amon.)
Suku-Suku yang Menetap di Daerah Sebelah Timur Sungai Yordan
(Bil 32.1-42)
12 “Selepas tanah itu menjadi milik kita, aku memberikan suku Ruben dan Gad tanah di utara kota Aroer, dekat Sungai Arnon dan sebahagian daripada perbukitan Gilead, termasuk kota-kota di situ. 13 Aku memberikan daerah Gilead yang selebihnya kepada setengah suku Manasye, dan juga seluruh daerah Basan, tempat Raja Og memerintah dahulu, iaitu seluruh wilayah Argob.”
(Basan terkenal sebagai tanah bangsa Refaim. 14 Yair, seorang daripada suku Manasye, menduduki seluruh wilayah Argob, iaitu Basan, sampai perbatasan Gesur dan Maakha. Dia menamakan pekan-pekan di situ menurut namanya sendiri. Sampai sekarang, pekan-pekan itu masih dikenal sebagai pekan-pekan Yair.)
15 “Aku memberikan daerah Gilead kepada puak Makhir daripada suku Manasye. 16 Aku memberikan daerah di antara Gilead dan Sungai Arnon kepada suku Ruben dan Gad. Bahagian tengah Sungai Arnon menjadi sempadan daerah mereka di sebelah selatan. Sempadan mereka di sebelah utara ialah Sungai Yabok, yang sebahagiannya menjadi sempadan negeri orang Amon. 17 Di sebelah barat, daerah mereka terbentang sampai ke Sungai Yordan, dari Tasik Galilea di utara sampai ke Laut Mati di selatan, dan sampai ke kaki Bukit Pisga di sebelah timur.
18 Pada masa itu juga aku memberikan perintah ini kepada mereka, ‘TUHAN, Allah kita sudah memberi kamu tanah di sebelah timur Sungai Yordan untuk menjadi tempat tinggal kamu. Sekarang lengkapilah askar-askar kamu dengan senjata, dan suruhlah mereka pergi ke seberang Sungai Yordan, supaya mereka mendahului suku-suku Israel yang lain untuk menolong mereka menduduki tanah itu. 19 Hanya anak isteri dan ternakan kamu yang boleh tinggal di kota-kota yang sudah aku berikan kepada kamu. Aku tahu bahawa ternakan kamu banyak. 20 Tolonglah sesama kamu umat Israel sehingga mereka menduduki tanah yang diberikan TUHAN kepada mereka di sebelah barat Sungai Yordan, dan sehingga TUHAN mengizinkan mereka tinggal di sana dengan tenteram, sebagaimana yang sudah dilakukan-Nya untuk kamu. Selepas itu barulah kamu boleh pulang ke tanah yang sudah aku berikan kepada kamu.’ +
21 Kemudian aku berkata kepada Yosua, ‘Engkau sudah nampak segala yang dilakukan TUHAN, Allahmu terhadap Raja Sihon dan Raja Og, dua orang raja itu; Dia akan melakukan hal yang sama kepada setiap raja yang negerinya engkau serang. 22 Jangan takut kepada mereka, kerana TUHAN, Allahmu akan berperang untukmu.’”
Musa Tidak Dibenarkan Masuk ke Kanaan
23 “Pada masa itu aku berdoa dengan sungguh-sungguh, 24 ‘Ya TUHAN Raja, aku tahu bahawa apa yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku hanya permulaan perkara besar dan ajaib yang akan Engkau lakukan. Tiada tuhan lain di langit ataupun di bumi yang dapat melakukan perkara ajaib yang telah Engkau lakukan. 25 Ya TUHAN, benarkanlah aku menyeberangi Sungai Yordan dan melihat tanah yang subur di seberang, kawasan perbukitan yang indah dan Pergunungan Lebanon.’
26 Tetapi kamu sudah menyebabkan TUHAN murka terhadap aku sehingga Dia tidak mahu mengabulkan permintaanku. Sebaliknya Dia berfirman, ‘Sudahlah! Jangan sebut perkara itu lagi! 27 Pergilah ke puncak Gunung Pisga dan pandanglah ke arah utara dan selatan, ke arah timur dan barat. Perhatikanlah baik-baik apa yang engkau nampak, kerana engkau tidak akan pergi ke seberang Sungai Yordan. + 28 Berikanlah petunjuk-petunjuk kepada Yosua. Kuatkanlah hatinya, kerana dialah yang akan memimpin umat ke seberang sungai untuk menduduki tanah yang engkau nampak itu.’
29 Oleh itu kita tinggal di lembah, di seberang kota Bet-Peor.”
b 3:11 jenazah; atau katil. c 3:11 batu; atau besi. + 3:20 Yos 1.12-15 + 3:27 Bil 27.12-14; Ul 32.48-52