Peraturan tentang Pembunuhan yang Tidak Dapat Diselesaikan
21
“Andaikata seorang didapati terbunuh di padang, di tanah yang akan diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu tidak tahu siapa yang membunuh orang itu, maka para pemimpin dan hakim kamu harus keluar untuk mengukur jarak dari tempat mayat itu ditemui ke tiap-tiap kota yang berdekatan. Kemudian para pemimpin dari kota yang terdekat dengan tempat mayat itu ditemui mesti memilih seekor lembu muda yang belum pernah digunakan untuk bekerja. Mereka harus membawa lembu itu ke suatu tempat dekat sungai kecil yang airnya tidak pernah kering, dan tanah di situ tidak pernah dibajak atau ditanami apa pun. Di situ, mereka harus mematahkan leher lembu itu. Imam-imam suku Lewi juga harus pergi ke sana, kerana mereka mesti mengadili setiap perkara yang melibatkan keganasan. TUHAN, Allah kamu sudah memilih mereka untuk mengabdi kepada-Nya dan untuk memberkati orang demi nama-Nya. Selepas itu semua pemimpin dari kota yang terdekat dengan tempat mayat itu ditemui, mesti mencuci tangan di atas lembu itu, sambil berkata, ‘Kami tidak membunuh orang ini dan kami tidak tahu siapa yang membunuh dia. Ya TUHAN, ampunilah umat-Mu Israel yang sudah Engkau selamatkan dari Mesir. Ampunilah kami dan jangan anggap kami bertanggungjawab atas pembunuhan orang yang tidak bersalah.’ Oleh itu, dengan melakukan apa yang dituntut oleh TUHAN, kamu tidak lagi bertanggungjawab atas pembunuhan itu.”
Peraturan tentang Wanita yang Dijadikan Tawanan Perang
10 “Apabila TUHAN, Allah kamu memberi kamu kemenangan dalam peperangan, lalu kamu mengambil tawanan perang, 11 mungkin di kalangan mereka kamu melihat seorang wanita yang kamu suka, dan ingin kamu kahwini. 12 Bawalah wanita itu ke rumah kamu. Di situ dia akan mencukur kepalanyau dan memotong kukunya, 13 serta menyalin pakaian. Wanita itu mesti tinggal di rumah kamu dan berkabung bagi ibu bapanya selama satu bulan. Selepas itu, barulah kamu boleh mengahwini dia. 14 Jika pada kemudian hari kamu tidak mengingininya lagi, bebaskanlah dia. Kamu tidak boleh memperlakukan dia sebagai hamba atau menjual dia, kerana kamu telah memaksa dia bersetubuh dengan kamu.”
Peraturan tentang Warisan Anak Sulung
15 “Andaikata ada seorang yang mempunyai dua orang isteri, dan kedua-dua orang isteri itu melahirkan anak lelaki, tetapi anak yang sulung bukan anak isteri kesayangannya. 16 Apabila orang itu hendak menentukan pembahagian hartanya kepada kedua-dua orang anaknya itu, dia tidak boleh memihak kepada anak isteri kesayangannya, lalu memberi anak itu bahagian harta yang menjadi hak anak sulung. 17 Dia mesti memberikan bahagian harta dua kali ganda kepada anak sulungnya, walaupun anak itu bukan anak isteri kesayangannya. Seorang bapa mesti mengakui anak sulungnya, dan memberi dia bahagian harta yang menjadi warisannya menurut peraturan.”
Peraturan tentang Anak yang Derhaka
18 “Andaikata ada seorang yang mempunyai anak yang keras kepala, suka memberontak, dan tidak mahu taat kepada ibu bapanya meskipun mereka menghukum dia. 19 Ibu bapa anak itu harus membawa dia ke hadapan para pemimpin kota, tempat tinggal mereka, lalu minta supaya anak itu diadili. 20 Ibu bapa itu harus berkata kepada para pemimpin, ‘Anak kami keras kepala, suka memberontak, dan tidak mahu taat kepada kami; dia juga pemboros dan pemabuk.’ 21 Kemudian kaum lelaki di kota itu harus merejam anak itu sampai mati. Dengan demikian, kamu akan membasmi kejahatan itu. Setiap orang di Israel akan mendengar tentang peristiwa itu dan menjadi takut.”
Berbagai-bagai Peraturan
22 “Jika seorang telah dihukum mati kerana melakukan jenayah, dan mayatnya digantung pada tiang, 23 maka mayat itu tidak boleh dibiarkan tergantung di situ sehingga keesokan harinya. Mayat itu mesti dikubur pada hari itu juga, kerana mayat yang dibiarkan tergantung pada tiang mendatangkan kutuk daripada Allah atas tanah itu. Kebumikanlah mayat orang itu supaya kamu tidak menajiskan tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. +
u 21:12 mencukur kepalanya; atau menggunting rambutnya. + 21:23 Gal 3.13